Salam Ukhwah

Thursday, August 13, 2009

Lagi Tentang Rezeki

TIADA REZEKI?
BELUM REZEKI?
ATAU BUKAN BAHAGIAN REZEKI KITA?

Berbicara tentang rezeki kembali, rezeki ALLAH swt anugerahkan dalam pelbagai bentuk. Tangible mahupun intangible. Samada bentuk wang, gaji, pekerjaan, makan dan minum, malah perkahwinan, jodoh, kejayaan dan kesusahan juga merupakan rezeki yang diberikan. Tetapi ia kembali kepada pucuk persoalannya, bagaimana kita melihat rezeki itu melalui mata hati supaya nikmatnya sesuatu perkara itu dapat kita hirup walau dalam sedikit nilainya.
Siapa yang tidak mengenali adik Nik Nur Madihah pelajar Maahad Muhammadi Lil’Banin, Kelantan. Kejayaan adik Nik Nur Madihah mencapai keputusan yang cemerlang walau didalam selut kepayahan harta benda mengalahkan pelajar lain yang lemas di lautan kemewahan. Kenyataan ayah adik Nik Nur Madihah yang mana mementingkan sumber rezeki yang halal amat lah saya kagumi. Malahan sifat berusaha dan qana’ah mereka walau di beri sedikit rezeki berbanding yang lain mampu menjadi contoh kepada semua rakyat Malaysia saat ini.
Bersifat qana’ah tidak bermakna seseorang itu akur dengan kehidupan tetapi bersyukur seadanya sambil berusaha meraih sumber yang halal dan menghalang diri dan keluarga dari mendapati rezeki yang haram hanya kerana mahu melipatgandakan pendapatan.
Sesuatu kesusahan itu adakah bermakna tiada rezeki kita atau adakah ia lebih bermakna itu bukan bahagian rezeki kita?
Mungkin kadangkala kita tidak menyangka rezeki mampu menjadi alasan kepada suatu pergolakan, samada di dalam diri atau dengan orang lain. Mungkin ya ada bahagian rezeki itu bukan milik kita, namun ia bukanlah tiada rezeki langsung. Mungkin keluarga Nik Nur Madihah tiada bahagian yang lebih pada pendapatan dan pangkat, tetapi apa yang keluarga ini miliki seperti hati dan jiwa yang kental merupakan rezeki lebih buat mereka berbanding kita. Cuba diletakkan kita di dalam gelora kesusahan, mampukah kita meranduk bah itu seperti mereka?
Lumrahnya, ada perkara yang tidak mampu kita miliki atas ketentuannya, tetapi yang pasti ada kelebihan lain yang ALLAH swt tampungkan buat kita.

No comments: