Salam Ukhwah

Wednesday, July 20, 2016

Namanya Kehidupan


Menyakitkan!
Sebaris ayat pun sudah cukup membiakkan tekanan
Bagai bara disimbah minyak
Api keresahan tiba-tiba bersemarak 
Memberontak..
Marak….
Biar bersungguh cuba dikawal
Gagal!

Saat ini serasa malas mahu melayan apa pun tohmahan, salah faham, bahkan fitnah yang dilemparkan. 
Rimas dibelenggu rantaian kasih yang entah ada atau tiada 
Lemas dengan aroma pura-pura yang entah sejak bila timbulnya namun kini semakin ketara.

Aku sebenarnya sudah jemu
Dari dulu.. lagi-lagi itu! 
Memandang tegak ke hadapan, 
Masih kelam itu juga yang kelihatan suram
Sesuram hati yang walang mengharung malam
Letih menunggu siang!
Menjeling cermin pandang belakang
Yang ku lihat hanya ribut
Alam masih berkabut
Segalanya masih berserabut
Lalu bagaimana aku mahu punya keyakinan untuk terus merentasi perjalanan?

Aduhai 
Kalau bukan kerana Tuhan
Aku sudah lama berlepas tangan
Kalau bukan kerana sedar bahawa inilah yang dipanggil ujian
Aku sudah lama keluar dewan
Persoalan demi persoalan tiada jawapan 
Lalu untuk apa ku teruskan?

Namun
Dalam kebanjiran resah yang kadang redha kadang tak redha 
Aku sebenarnya masih ingin bertabah
Berkuat menadah satu demi satu ketentuan Allah
Sekuat mana ribut menerjah

Biarlah... 
Namanya pun juga hidup
Katanya senarai ujian sudah termaktub
Lulus atau gagalnya saja yang masih rahsia
Barangkali terserah pada secepat mana aku berjaya mengeringkan air mata
Barangkali terpulang sepintar apa aku berhasil menekan malang menjadi tenang
Barangkali begitu.

Lalu akhirnya ini juga putusku
Ku tepuk-tepuk dada sendiri
Ku pujuk-pujuk lagi
Sabarlah duhai hati
Namanya pun kehidupan.
Kata Tuhan
Kehidupan bersarang dengan ujian 
Dan ini cuma ujian.



Wednesday, January 27, 2016

Mengenangimu Sahabat.. #Shawaliza


Biacara tanpa suara untukmu sahabat. #Shawaliza Haji Ali

Liza sahabatku,
Setangkai Doa & juga Fatehah akan selalu aku kirimkan buatmu disana. Amanlah disana wahai sahabat, kerana Allah lebih menyayangimu lebih daripada kami.

Liza sahabat yang dirindui..
Engkau telah pun selesai melewati ujian dan dugaan dari Yang Maha Memiliki, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dengan penuh tabah dan tenang. Sedangkan sahabatmu ini masih lagi bertarung dan bermujahadah untuk mengharungi ujian dan dugaan silih berganti. Terputus sudah doa tulusmu buat aku, tiada lagi bisikan keramat kata semangat yang sering engkau ungkapkan buat aku dikala aku 'down'. Sunyi hati ini hanya Tuhan yang tahu.

Sahabat yang dikasihi..
Engkau pergi dengan tenang, tatkala aku melihat sekujur jasadmu terbujur kaku didepan mata bertapa ketenangan tepancar diwajahmu diiring dengan wajah yang berseri-seri. Ku lihat wajahmu lentok sebelah kanan seperi  engkau sedang lena diulit mimpi. Sangat istimewa engkau disisi-NYA. Betapa Allah mengasihimu, engkau dihadiahkan dengan bungkusan berbentuk dugaan yang getir bilamana engkau diuji dengan kesakitan yang amat sangat seiring dengan masa engkau tabah mengharunginya.. namun engkau tetap tersenyum manis dan ingin sekali bediri tegak untuk melawan kesakitan itu. Semangatmu sangat tinggi. Setip kali aku kunjung ziarah sama ada di hospital atau dirumah pasti aku pulang dengan motivasi dan pelajaran tatkala aku melihat ketabahanmu.

Sahabat yang istimewa..
Kita berkongsi cerita & berita, kita berkongsi rahsia dan rasa dan sebab tu persahabatan kita sangat istimewa. Bermula pada zaman kanak-kanak riang lagi sehinggalah ke usia muda belia dan sehingga hujung usiamu kita masih berkongsi cerita, walaupun engkau terlantar dikatil hospital tetap masih ingin mengambil cakna tentang sahabatmu ini. Tutur katamu dan nasihat yang engkau lontarkan buat aku sangat maknawi dan akan ingat sampai bila-bila. 

Teringat sangat pada satu hari 3/4/2015 (Jumaat)
Aku terjah mengunjungimu di HKL.. sangat suprise untukmu kerana daripada riak wajahmu waktu itu engkau bagaikan tak percaya bahawa tiba-tiba aku muncul dihadapanmu sedangkan pada masa itu bukanlah waktu melawat yang dibenarkan untuk pelawat berada di wad. Aku menaiki bas ekpres dari Temerloh setelah parking kereta di Terminal turun di Perkeliling lalu maniki teksi ke HKL. Aku sengaja ingin menemanimu di wad pada hari itu setelah sekian hari engkau mendiami di katil 24 wad 2 HKL. Dalam tak larat engkau tetap meraikan kehadiran aku sehingga engkau gagahkan diri untuk turun ke cafe menemani aku lunch. Allahu... semua itu masih terbayang-bayang satu per satu di kotak fikiran ini.

1hb November(sabtu) aku dan suami bertolak ke Seremban seawal pagi dari kampung setelah mendapat berita dari Kak Nida tentang keadaanmu di wad Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Dihari itu engkau sangat ceria walaupun aku tahu kau sedang menyembunyikan kesakitan. Kita bersembang berkongsi cerita dan rasa. Berbagai cerita dan pesan yang engkau tinggalkan untuk aku seolah pada masa itu engkau tahu bahawa engkau akan pergi buat selamanya.. Allahu.. sebak hati ini tidak dapat sama sekali aku menahan titik jernih jatuh dari sepasang mata ini. Mulianya hatimu sahabat. 

15hb November(sabtu) sekali lagi aku datang menziarahimu di Wad 1 Hospital yang sama. Pada hari tu aku melihatmu dalam keadaan yang sedang menahan kesakitan yang amat sangat. Inilah kali pertama aku melihat wajahmu tidak lagi seceria seperti biasa sebelumnya.. aku pasti sangat pada ketika itu engkau sedang menahan kesakitan yang amat sangat. Dalam ketidakberdayaan itu engkau seboleh mungkin masih ingin meraikan kehadiran aku pada petang yang syahdu itu. Aku berhasrat untuk datang lagi pada 21hb iaitu hari sabtu berikutnya... namun engkau menyatakan "mina jangan harap sangat sebabnya rasa macam tak dan jek".  

Aku tak menyangka itulah hari terakhir kita bercakap-cakap... itulah kali terakhir aku memegang tanganmu.. itulah hari terakhir aku memelukmu dan itulah kali terakhir kita bersua muka dan lambaian tanganmu itulah adalah lambaian terakhir untuk sahabatmu ini.

21hb November 2015 benarlah...  tiada lagi pertemuan untuk kita melainkan aku menanti jasadmu tiba di Masjid FJU untuk dikebumikan. Engkau pergi untuk selama-lamanya dan tak mungkin akan kembali lagi.

Liza... aku rindu

Sunday, January 24, 2016

Air Mata Tak Bernama


Tumpah lagi
Namun kali ini entah kerana apa.. mengalir perlahan seiring esakan. Jiwa sebak tak keharuan. Entah air mata gembira.. entah air mata berduka
atau entah apa-apa, yang pastinya ia tidak bernama

Aduhai..
Lemahnya jiwa ini wahai Tuhan
Hendak ku adukan sesuatu kepadamu, tapi ia terbuku, entah bagaimana harus kuluah itu.... aku tidak tahu!! mahu meminta atau mahu mengeluh, mahu meratib atau merusuh..? aku tidak tahu!!

Lalu pipi ini basah lagi dengan juraian air mata yang tumpah. Ada resah yang terkurung. Bersama rasa yang terpaksa aku harung. Sudahnya mulut ku kekal begitu dan kekal membisu. Dan air mata tanpa nama itu terus mengalir laju.

Biarlah....
Engkau lebih tahu Tuhan
Engkau faham apa yang aku rasakan.


Tuesday, January 19, 2016

ALLAH Tahu Yang Terbaik Buatmu


“Su, tolong bagi aku nasihat. Aku bukan tak terima ketentuan Allah. Aku tau Allah sedang bagi aku yang terbaik. Aku cuma sedih. Aku sedih betul, rasa macam tiada tempat untuk tanganku berpaut..”
Begitu SMS yang mengetuk peti masuk telefon bimbit. Aduh, jiwa saya terus terasa sayunya. Berfikirlah saya hendak balas apa. Kesedihan orang, jangan ditambah. Nanti dia lagi tambah lemah jiwa. Maka saya cuba menyusun ayat, biar tidak menambah luka.
Kenapa kita sedih bila yang berlaku tidak sesuai dengan keinginan kita walaupun kita sudah berusaha keras bersusah-payah untuk apa yang kita hendak capai atau perolehi? Perkara ini pernah saya bualkan dengan seorang sahabat. Sedar tidak sedar, Tea C Special yang disedut-sedut sepanjang perbualan, sudah habis. Banyak faktornya sebenarnya yang mungkin buat kita rasa sedih dan terasa diri kita ini seperti loser.
Tetapi fikir saya, sesiapa pun akan merasa sedih. Walaupun tahu Allah SWT lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Namun fitrah jiwa, begitulah. Tapi kalau kita pandu jiwa dan jasad kita dengan sesuatu yang kita, insya-Allah hilanglah kesedihan itu berganti pasrah.
Kita Dan Kecewa Dalam Hidup
Saya percaya, kalau kita selalu fikirkan kekecewaan, maka pastilah kekecewaan itu akan menjadi lazim dalam hidup kita. Tapi, mari kita imbas sebentar. Kita akan sedih dan kecewa apabila pilihan hati menolak kita. Kita mungkin akan berdukacita apabila belum lagi masanya untuk kita melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Ada juga yang resah dan sedih bila masih belum bertemu jodoh walaupun usia semakin meningkat dan mulai tertanya-tanya, “Teruk sangatkah rupa aku sampai takda orang yang nak?” Kita hampa terhadap diri sendiri apabila masih belum kelihatan berjaya seperti kawan-kawan yang lain. Pendek kata, kita akan kecewa terhadap hidup ini apabila sesuatu yang kita kejar dan ingin capai dalam hidup tidak kesampaian.
Betul, kan?
Ada orang dia akan sedih mula-mula saja, lama-lama nanti dia akan baiklah. Dia teruskan hidup macam biasa, dan terus berusaha pula dengan jalan lain. Tapi ada orang tidak boleh move on dengan apa yang berlaku dalam hidupnya. Pada dia, diri dia teruk sangat dan hidup ini seakan tidak adil. Nah, di mana Allah SWT dia letakkan ketika itu? Tiada. Ada yang tidak memikirkan Allah SWT kerana kekecewaan yang sudah menyelubungi jiwa. Allah sudah tiada dalam fikirannya. Yang dalam fikirannya hanya kekecewaannya.
Kalau saya boleh katakan kepada sesiapa yang berfikiran sedemikian, saya akan katakan; Bersabarlah. Tenangkan fikiran. Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita sebenarnya, walau tidak terjadi seperti apa yang kita harapkan dan apa yang kita duga, adalah merupakan ketentuan dan takdir Allah SWT. Kita kena paksa dan didik jiwa kita untuk percaya dan yakin bahawa semua yang berlaku terhadap diri dan kehidupan kita, baik seperti yang kita mahukan atau pun yang sebaliknya, adalah rahmat daripada Allah SWT.
Saya pasti, kita semua pernah terdengar atau selalu baca firman Allah SWT ini.
“..dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang itu adalah yang baik bagimu; dan boleh jadi kamu suka sesuatu, sedangkan itu bukan yang terbaik untukmu. Dan Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah: Ayat 216)
Kita kena sedar kelemahan kita sebagai seorang hamba, dan ceteknya ilmu kita mengenai baik buruk sesuatu yang kita mahukan dalam kehidupan itu, tidak setanding dengan pengetahuan Allah SWT, yang menciptakan kita sejak kita belum menjadi seketul daging di dalam rahim ibu kita pun. ita ini, ada waktunya kena berkeras dengan diri sendiri. Jangan terus melemah dan memberontak, biar kita melihat perancangan Allah SWT untuk kehidupan kita itu adalah yang TERBAIK. Kena yakin itu.
Rahmat Allah Itu Bermacam-Macam
Apabila Allah SWT ingin memberikan sesuatu yang baik kepada seseorang itu atau rahmat Allah SWT itu, saya sangat percaya bahawa dengan kekuasaan Allah SWT, semua itu akan datang dalam pelbagai bentuk dan gambaran yang berbeza-beza dimata manusia. Boleh jadi dalam bentuk-bentuk kebaikan. Dengan cara seiring dengan apa yang kita hajatkan dan hendak capai. Dan adakalanya rahmat dari Allah SWT itu dalam ketetapan yang bertentangan dengan apa yang kita inginkan.
Sebenarnya kalau difikir-fikir, kita ini laksana anak kecil yang menginginkan semua yang kita nampak menarik. Masih ingatkah kita sewaktu kecil apabila kita merengek mahukan sesuatu? Dan kita berusaha meminta kepada ibu atau bapa kita. Tetapi kerana ibu bapa kita tahu apa yang kita nampak menarik itu, tidak baik untuk kita, maka ditolaknya permintaan kita. Adakah kerana ibu bapa kita itu jahat? Tidak! Kerana ibu bapa kita sayang dan cinta kepada kita. Mereka tahu, ada bahaya kalau kemahuan kita dituruti.
Nah! Begitu jua keadaannya apabila kita memberontak sendiri, kerana apa yang kita mahukan dalam hidup di usia dewasa ini tidak tercapai. Kita berdoa untuk itu dan ini, tetapi kononnya Allah SWT tidak pernah kabulkan permohonan kita. Sedangkan sebenarnya, setiap permintaan yang dikabulkan oleh Allah SWT, dan setiap penolakan terhadap apa yang kita dambakan itu, dua-dua adalah rahmat dan nikmat daripada Allah.
Malah tidak keterlaluan apabila ada yang mengatakan bahawa Allah SWT tidak pernah menolak doa. Bahkan dia menggantikan dengan sesuatu yang lain, yang jauh lebih baik untuk diri kita dan kehidupan kita. Masya-Allah, tabaarakallah!
Imam Ibnu Athaillah Assakandary pernah berkata,
“Apabila Allah memberi kepadamu, nescaya Dia saksikan kepadamu kebaikan-Nya. Dan apabila Dia menolakmu, nescaya Dia saksikan kepadamu kekuasaan-Nya. Maka Dia (Allah) di dalam semua itu memperkenankan dan menghadapkan kepadamu dengan sifat kehalusan-Nya kepadamu..”
Allahuakbar.
Banyak waktu kita ini selalu memusuhi apa yang kita tidak tahu dan apa yang kita tidak mahu. Walhal, ada cerita disebaliknya yang sedang dihantarkan oleh Allah SWT untuk kesejahteraan hidup kita. Kerana apa? Kerana hati kita masih banyak noda sebenarnya.
Jangan Sangsi Terhadap Allah SWT
Siapa yang tidak teruji dalam kehidupan ini kan? Tapi itu bukan tiket untuk kita mahu rasa seperti melupakan Allah SWT. Kita cakap pada diri sendiri, “Allah tu Maha Berkuasa, kenapa Dia tak mudahkan saja perjalanan hidupku ni? Ah!” Senyum.
Saya cuma boleh katakan, tiada kemanisan jika tiada perjuangan untuk sesuatu yang kita mahukan. Allah SWT sudah cukup baik dengan tidak membiarkan kita, dan berkali-kali mahu menyedarkan kita dalam pelbagai situasi. Kita ini saja, yang selalu tidak melihat kebaikan dan kemurahan Allah SWT. Sebab apa? Sebab kita hanya mahu apa yang mata kita lihat. Tetapi tidak mahu memahami apa yang mungkin sedang Allah aturkan.
Selagi hayat dikandung badan, selagi Islam menjadi pegangan, selagi kita masih seorang Muslim, sepatutnya selama itulah kita tidak perlu kecewa walaupun perjalanan kehidupan kita tidak seperti yang kita jangkakan. Teringat sabda Rasulullah SAW,
“Demi zat yang diriku ada ditangan-Nya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang mungkin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya..” (Hadis Riwayat Muslim)
Jika sahaja kita dapat melihat perjalanan kita yang dengan cantik Allah SWT sudah aturkan, mungkin kita akan lebih malu dan tertunduk malu kepada Allah SWT. Cuba tanyakan diri kita. Kita selalu bersyukur, atau sebaliknya?
Penuhkan Hidup Ini Dengan Syukur
Bila Allah SWT kabulkan apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Jika kita tidak dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Sama ada Allah SWT makbulkan atau tidak, yang pada pandangan kita diterima atau ditolak, yakinlah bahawa yang ditolak itu ada penggantinya yang lebih baik. Kita cuma perlu menjadi seorang hamba yang merendah diri dengan Tuhannya, jalani hidup seperti biasa. Beribadah dengan ikhlasnya kepada Allah.
“Tiadalah sesuatu kesusahan yang dititipkan di bumi, dan tiada pula yang menimpa dirimu, melainkankan telah sedia ada dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kamijadikannya; sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah. (Kami katakan demikian) supaya kamu tidak bersedih hati atas apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (menyombong dan berbangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu..” (Surah al-Hadid: Ayat 22 & 23)
Nanti-nanti, pasti Allah SWT akan kirimkan sesuatu buat kita.
Yang penting, jangan cepat berputus-asa wahai kawan. Hidup di dunia ini tidaklah lama mana, kita pun tidak tahu umur kita sampai berapa tahun. Bila tengok pula pada amal ibadah dan amal jariah, aduhai tersangat sikitnya rasa. Dari kita sibuk-sibuk mahu melayan perasaan sangka buruk, baiklah kita mencari jalan untuk membuat kebaikan.
Pssst! Kadang-kadang, Tuan Punya Dunia itu ada banyak cara untuk cuit dan jentik kita. Biar kita tidak terus mengelamun di dunia, dan sedar bahawa kita masih belum ada di syurga. Selagi kita belum ada di syurga, selagi itu kita tidak berhenti berusaha.
Senyum Dan syukur. Semoga ALLAh merahmati.
Kadang-kadang kita seakan tersesat sendiri dalam kemahuan jiwa dan ketentuan Allah.
Sumber : http://cintailahi.com

Sunday, January 10, 2016

Saat Waktu Kau Tinggalkan Kami #ShawalizaHajiAli


Coretan penuh juraian air mata…

Hampir 2 bulan... berlalu pemergian arwah sahabat saya namun hati ini semakin merindu, rindu pada sepotong nama.. yang aku pangil ‘LIZA’  dikaulah sahabat dan teman sejati.

Kisah ni tentang persahabatan yg setia hingga hujung nyawa..

Pemergian sahabat saya... arwah meninggal pada 21112015 jam 12:20tgh bersamaan 9 Safar 1437H, sejak itu jiwa saya seolah pergi bersama dia, 

Sayu dan sedih hati ini hanya Yang Maha Kuasa mengerti... Sayu dengan kehilangan seorang sahabat yang sangat mulia hatinya, sedih kerana ketiadaan lagi sahabat yang setia, setia dalam erti kata menginggatkan, menasihatkan, mempositifkan, memotivasikan dan mengambil cakna.

arwah adalah sahabat saya sejak dari zaman kanak-kanak lagi.. kami main bersama-sama, membesar bersama-sama... tapi biasalah, zaman kanak-kanak riang.. gaduh-baik-gaduh-baik.. perkara normal sebagai kanak-kanak.. Pergi sekolah sama-sama bila balik sekolah arwah abahnya menjemput dan pasti saya akan membonceng bersama-sama dengannya.

Tapi, sejak meningkat remaja, hubungan kami semakin akrab. maklumlah dah matang sikit... semasa Sekolah Menengah kami bersekolah di sekolah yang berlainan namun kami terus berhubung melalui surat. Ye Surat.. bayangkan kami berhubung melalui surat bermula daripada awal sekolah menengah sehingga kemudahan handphone wujud ditangan kami, iaitu sekitar tahun 2001. Sebab tuh kami rasa kami ni special. Persahabatan ini yang sangat istimewa.

Dulu bila cuti sekolah kami lepak sama-sama... berborak, bertukar-tukar cerita dan berkongsi rasa. Kami sangat rapat dan kerapatan serta keakraban kami diakui oleh sesiapa yang mengenali kami, terutama di kejiranan kami. Mereka sedia maklum bahawa kami berdua adalah bestfriend forever.

Di sekolah rendah kami sama-sama pergi sekolah pagi dan petang, pagi sek kebangsaan manakala petang kami sekolah agama. Arwah memang seorang yang bijak, dia berjaya menjejaki kaki ke Menara Gading namun berlainan dengan saya. Sungguh pun begitu arwah tidak pernah sama ada dari segi kata-katanya, perlakuannya serta tindakannya membuatkan saya berasa rendah diri bila bersama dengannya. Arwah seorang yang sangat ikhlas hatinya.. luhur budinya dan cantik pekertinya.

Cumanya di era usia kami 20-29 tahun kami jarang-jarang dapat bertemu melainkan musim raya dan cuti panjang, kerana pada masa itu jarak & komitmen yang memisahkan kami. Sangat saya tidak lupa apabila arwah sanggup menaiki bas untuk turun ke JB bagi menemui saya setelah sekian lama kami tidak berjumpa. Allahu…. Sebab tu dia sangat special dihati saya.

Takdir dan jodoh kami juga hampir serupa,

Kami sama-sama diuji dengan sikit lambat bertemu jodoh. Kami sama-sama tidak punya kawan lelaki yang menjadikan kami termasuk golongan muda mudi yang leka dengan cintan cintun. Namun Allah dah rancangkan yang terbaik untuk kami. Penghujung tahun 2007 tak diduga kami sama-sama jumpa calon suami yang sebenarnya kami tak rancang pun.. sekali lagi Allah izin Majlis Nikah kami berlangsung selang seminggu. Makna kata kami mendirikan rumahtangga pada bulan dan tahun yang sama iaitu Mach 2008.

“amboi mentang oakme kawan baik sejak kecik, menikah pun nak sama-sama”

Itulah antara ayat makcik-makcik jiran kami tatkala menjayakan walimah kami.

Selapas masing-masing dengan tugas dan jawatan yang baru ‘isteri’ maka jarang-jarang kami dapat peluang untuk duduk sembang lama-lama macam sebelumnya. Maklumlah masing-masing dah ada komitmen yang lain. Walaubagaimanapun kami tetap mencari ruang untuk bertemu dan pertemuan kami biasanya disertai dengan pasangan masing-masing.  Alhamdulillah syukur sangat, kami berdua dikurniakan suami yang sangat memahami dan sudi turut serta dalam persahabatan kami yang sedia terjalin ini.

Ya Allah, berderai air mata ni... sedih sgt.. hati ni rindu sgt kat arwah.......

Sebenarnya dah lama arwah diagnoisis, sebelum tuh arwah kerap kali demam. Cumanya arwah tidak berminat sangat nak cerita tentang sakitnya dengan orang lain kerana prinsipnya tidak mahu menyusahkan pihak lain. Dah beberapa bulan juga kami tidak berkesempatan untuk bertemu seperti sebelumnya sehingga pada Oktober 2014, ketika saya mengikut suami pulang ke kampungnya di Kelantan saya mendapat mimpi bahawa arwah memberitahu “saya mungkin saya tak lama” keesokkanya saya terus  menelefonnya dan saya diberitahu bahawa dia sedang berada di Wad Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan inshaallah akan disjas hari ni. Allahu.. lega rasa hati. Namun hati terus berteka teki.. sakit apakah sahabatku ini?.. bagaimana keadaan dia sebenarnya..?.

Saya terus nekad akan kerumahnya sebaik saya pulang dari Kelantan. Saya ziarah secara terjah kerana tidak mahu menyusahkan arwah untuk bersiap2 menyediakan apa saja juadah, kerana saya sedia maklum bahawa arwah sangat perihatin bila tetamu datang bertamu ke rumahnya.

Dan pada ketika kunjungan saya itulah saya diberitahu tentang dan kisah dirinya yang sebenar. Bedebar jantung saya dan menitik air mata tatakala saya diberitahu oleh arwah. Allah… rupa2nya sahabat saya sebenarnya tidak sihat… "kenapa aku tak tahu".. dan kenapa aku seolah lupa nak bertanya itu dan ini… maafkan saya liza. Sejak saya mengetahui akan keadaannya yang sebenar saya sentiasa mengikuti tentang pekembangan kesihatannya. Dimana saja dia dirawat dan direhatkan maka saya akan berusaha untuk memunculkan diri.


Hari ni hampir 2 bulan arwah berlalu pergi.. tapi sampai sekarang saya rasa arwah masih ada.. dulu saya pernah dirundung sedih tentang suatu takdir yang tidak dapat saya elak dan kali ini saya sekali lagi diuji dengan perasaan yang paling sedih. Ternyata kesedihan saya pada waktu ini adalah berganda. Sedih kehilangan seorang sahabat,  rupanya bukanlah satu perkara yang mudah untuk melaluinya. Terhentilah sudah doa kudus dan tulus darinya untuk saya.. tiada lagi pesan & nasihat darinya untuk saya. Saya rindu!!

Buat yg masih ada sahabat, hargailah dia selagi dia masih ada.. sebab bila ia dah pergi kita rasa terlalu singkat masa kita bersamanya. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan org beriman dan para solihin. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya..

Al-Fatihah buatmu sahabatku tercinta.. tenanglah kamu di sana.. kami disini akan tetap menyayangi dan mengingatimu sampai bila2.. kami terlalu merinduimu,sahabat....... sahabat untuk selamanya.. sekali bersahabat, selamanya dijiwa....

SuaraHATI: Liza.. rindu awak sampai bila-bila. 


Friday, October 9, 2015

Andai Allah Mengujimu


Andai Allah mengujimu
dengan ujian yang sukar untuk dilalui,
Carilah ruang dan tempat untuk menyendiri,
Renungkan perjalanan hidupmu sebelum diuji sebegini,
Bicaralah pada DIA tuhan yang maha mengetahui,
Jauh dari dalam lubuk nubari,
Mengadu dan merintihlah seikhlas hati,
Andai dalam pengaduan itu nanti,
Airmata mu berderai tanpa henti,
Tetaplah bicara lagi,
Lagi... dan lagi,
Seolah DIA sedang berhadapanmu memerhati,
Sehingga segala yang terpundak di bahu
dan terbuku di hati,
Habis dibicarakan pada Ilahi.
Yakin dan percayalah sesudah itu nanti,
Semilir damai juga tenang berhembus lembut
menghuni tangkai hati.
 
SuaraHATI: Kami mohon Keampunan-MU Ya Robb

Monday, September 21, 2015

Redho vs Sabar

Hati yang redho vs hati yang sabar 

Dua situasi ini sangat berbeza.

Hati yang sabar adalah hati yang menekan rasa, menelan derita, hanya diri sendiri yang tahu amukan badai di dalam jiwa kerana keadaan dirinya tidak nampak di luaran.

Diri mampu tersenyum riang bersama keluarga, rakan dan taulan tapi jiwa merana hanya bercerita dengan Allah, mengadu dan bermunajat.
Lagi dan lagi,….

Manakala hati yang redho, derita dan sengsara sudah tidak dirasai,…

Dia tenang luar dan dalam.

Sangat tinggi penyerahan dengan Allah swt,..

Hati sentiasa berkata2 dengan Tuhannya,.

Wahai Allah, aku ini hanya hambaMu, Engkaulah Tuhanku,.. Buatlah, lakukanlah sesuka hatiMu terhadap diriku, aku redho. Walau apapun qadha dan qadarMu yang telah Kau tetapkan untukku, ketahuilah wahai Allah, itulah yang terbaik untukku,   kerana ianya datang dariMU…   takkan mungkin Kau dengar keluhan dari ku, baik dari mulutku, apatah lagi dari hatiku, kerana wahai Allah, Engkaulah kekasihku, Engkaulah jiwa ragaku, mana mungkin akan timbul ketidakpuasan hati kerana hatiku sudah mabuk dengan kasih sayangMu, lantaran itu, buatlah wahai Allah, apa jua pun untukku,…

Hati yang redho, akan mengalir dalam jiwa raganya ketenangan yang shahdu,.. yang nampak hanya Allah. Allah dan ALLAH.

walau kekadang jatuh dalam struggle, tetapi cepat nampak ini dari kekasihku, ALLAH swt, lalu hati terus tenang , damai dan tenteram,..

Dengan sifat sabar dan penuh pengharapan kepada Allah, insyaallah segala usaha kita akan mencapai kejayaan.

Allahu akbar


SuaraHATI : Alirkanlah rasa sabar ke dalam hati hamba-MU ini untuk aku berdepan dengan dalam segala hal.