Salam Ukhwah

Wednesday, November 23, 2011

Hijrah Sebagai Permulaan Takwim Islam

Awal Muharam merupakan permulaan tahun baru dalam takwim Islam. Ianya merupakan hari kebesaran yang disambut meriah oleh umat Islam di Malaysia. Awal Muharam merupakan tarikh penting dalam Islam yang merakam banyak peristiwa Hijrah serta mengandungi banyak pengajaran dan pencapaian kecemerlangan sepanjang zaman.

Pemilihan penggunaan permulaan bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam kalender Islam tidak berlaku ketika Rasulullah SAW masih hidup. Khalifah Umar Al-Khattab r.a adalah merupakan orang yang pertama memulakan penggunaan tarikh bulan-bulan Qamariah dengan penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah dijadikan sebagai permulaan taqwim Islam. Peristiwa tersebut berlaku ketika Baginda SAW sampai ke Quba pada 20 September 622M bersamaan dengan 8 Rabiulawal. Jika diteliti tarikh ini didapati 1 Muharram 0001H jatuh pada 6 Julai 622M (Jumaat).

Saidina Umar r.a sedar akan keperluan untuk menghitung bilangan bulan dalam tahun mengikut Islam, oleh kerana bulan-bulan dalam tahun sudahpun wujud sebelum kedatangan Islam. Cuma tidak ada bilangan bagi bulan ini mengikut tahun. Pada ketika itu setiap tahun hanya dikenali dengan sesuatu peristiwa penting sepertimana yang berlaku sewaktu kelahiran Nabi pada tahun dikenali dengan tahun Gajah kerana berlaku peristiwa Raja Abrahah yang telah menyerang Kaabah dengan tentera gajahnya. Khalifah Umar r.a mengalami kesukaran mengenai takwim khususnya dalam pengutusan surat kepada seluruh empayar Islam. Lantaran itu, beliau telah mengumpulkan para sahabat untuk mengkaji bagaimana untuk mengatasi masalah demikian. Hasil dari perjumpaan tersebut mereka telah mengenalpasti empat peristiwa agong yang penting yang patut dijadikan tanda perkiraan takwim Islam :

  1. Hari Kelahiran Nabi SAW
  2. Hari Perutusan Nabi SAW
  3. Penghijrahan Nabi SAW dari Mekah ke Madinah
  4. Tarikh kewafatan Nabi SAW

Selepas kajian rapi, didapati cadangan pertama dan kedua tidak boleh diterima kerana ketepatan kedua-dua tarikh tersebut tidak dapat dikenalpasti disebabkan terdapat beberapa tarikh yang berbeza dan sukar untuk dikenalpasti. Cadangan yang keempat juga tidak sesuai kerana ianya merupakan tarikh kewafatan Nabi Muahmmad SAW yang membawa kenangan yang pedih.

Akhirnya cadangan ketiga lebih sesuai iaitu peristiwa penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah. Tambahan pula peristiwa ini amat penting dan juga membawa pengertian besar dalam kehidupan kaum muslimin secara keseluruhannya. Menurut Saidina Umar r.a Hijrah merupakan sempadan diantara yang betul dan yang salah, diantara kebenaran dan kebatilan. Peristiwa Hijrah menjadi penting kerana dengan perjuangan serta pengorbanan, Islam mencapai kejayaan dan natijahnya hijrah merupakan sumber insprirasi sepanjang zaman.

Penghijrahan Baginda Nabi Muhammad SAW tidak boleh dianggap tindakan melarikan diri, malahan Nabi SAW berhijrah bukan atas dasar kehendaknya sendiri melainkan atas petunujuk dan perintah Ilahi.

Pengorbanan dan komitmen kaum muslimin di Mekah atau di Madinah telah membawa kejayaan kepada Islam. Peristiwa hijrah adalah permulaan perubahan nasib umat Islam, maka sayugialah peristiwa hijrah dipilih sebagai tarikh perkiraan permulaan kalendar Islam.

Sumber : Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor

SuaraHati : Berganjak lagi ke tahun yang baru, maka bersamanya juga bermulalah catatan yang baru di buku yang baru. Ya Allah engkau ilhamkan aku untuk mengerjakan ibadah kepada-MU dengan lebih kemas.



No comments: