Salam Ukhwah

Sunday, March 7, 2010

Jambatan Siap 100%

Jambatan Kuala Krau bernilai RM64 juta yang menghubungkan laluan Temerloh-Jerantut dan Rumpun Makmur Gunung Senyum di Jengka dengan menyeberangi Sungai Pahang, kini siap sepenuhnya dan boleh dilalui. Dijadual perasmian akan disempurnakan oleh DYMM Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada hari ini.

Dengan siapnya jambatan sepanjang 490 meter dan lebar 13.9 meter itu dijangka memberi kemudahan perhubungan kepada lebih 60,000 penduduk di kawasan terlibat kerana dapat memendekkan perjalanan orang ramai untuk ke Temerloh, Jerantut atau Bandar Jengka.

Perjalanan antara Kuala Krau-Jerantut-Bandar Jengka melalui jalan sedia ada sepanjang 55 kilometer ke laluan baru sepanjang 22 kilometer dengan itu dapat menjimatkan masa perjalanan selama 30 minit berbanding satu jam sebelum ini. Paling memberi makna buat diri saya sendiri apabila hanya mengambil masa lebih kurang 20mnt iaitu dengan jarak 17km dari Felda Jenderak Utara ke rumah mertua di Kg. Durian Hijau yang terletak berhampiran Kg. Rumpun Makmur. Perjalanan sebelum ini melibat jarak sejauh 65km melalui jalan jerantut feri dengan 45minit – 1jam perjalanan.

Rata-rata penduduk tempatan berharap dengan siapnya jambatan itu juga dijangka dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan penduduk setempat selain menjadi pemangkin segala kegiatan kemasyarakatan kerana dua kawasan yang terpisah, kini dapat disatukan. Tidak ketinggalan juga Kawasan Rekreasi Gunung Senyum juga dijangka menerima penambahan pengunjung dengan hebatnya.

Saya secara pribadinya bersyukur ke hadrat ILAHI kerana atas kasih dan sayangNYA telah mengilhamkan idea ini kepada pemerintah & telah mengurniakan kudrat kepada tenaga kerja dalam melaksanakan tugas untuk membina Jambatan ini bagi kemudahan yang sangat bermakna buat penduduk sekitar.

InsyaALLAH lepas nih.. mana kampung-kampung terpencil sebelum ini dijangka akan bernafas semula. Antara kampung berhampiran adalah Kg. Gunung Senyum, Kg. Rumpun Makmur, Kg. Pulau Raya, Kampung Durian Hijau, Felda Jengka 24 & 25 dan dan banyak lagi.


SuaraHati:- Senang sket nak ulang alik.. 1 hari boleh 3-4x.. siap boleh tuko2 lauk lagi...




No comments: