Salam Ukhwah

Tuesday, June 9, 2009

Kenapa Perlu BerSABAR

Sejenak mari kita berfikir bersama tentang kejadian Allah swt. Kita lihat kepada janin di dalam perut ibunya dan kita lihat peringkat pekembangannya. Dia tidak akan membesar secara tiba-tiba dan begitu juga tanaman serta timbul tergelincirnya matahari. Semuanya berlaku berperingkat dan memerlukan masa.


Begitu juga dengan ciptaan langit dan bumi selama enam hari, sedangkan Allah sendiri berkuasa untuk menjadikannya dalam sekelip mata. Tetapi semua ini berlaku kerana Allah mahu supaya kita mengetahui bahawa setiap yang wujud dimuka bumi ini akan melalui beberapa peringkat dan juga untuk memberitahu manusia bahawa sabar bukanlah sifat untuk manusia semata-mata, bahkan ia merupakan kunci dan sifat kepada alam ini sendiri. Maha Suci Allah!!


Setiap perkara dalam hidup kita tidak dapat lari daripada berhajat kepada kesabaran samada untuk mencapai kejayaan, memahami subjek yang susah, bergaul dengan orang, menyelesaikan masalah, berhajat kepada sesuatu, membuat sesuatu yang bertentangan dengan kehendak diri, mentaati Allah ataupun dalam meningggalkan maksiat. Benarlah kata-kata seorang ulama bahawa kesempurnaan dunia dan agama terikat dengan kesabaran.


Tanpa kesabaran akan binasalah manusia. Ini kerana yang menjadikan seorang penzina itu melakukan maksiat adalah kerana dia tidak sabar untuk menahan nafsunya hingga berkahwin. Begitu juga halnya dengan penagih dadah, ketidak sabarannya dalam menghadapi ujian yang menimpa dirinya dan waktu lapangnya menyebabkannya mengisi masa tersebut dengan perkara yang tidak sepatutnya.


Bayangkanlah betapa besarnya fungsi sabar hingga termaktub di dalam kitabullah lebih daripada 90 kalimah. Marilah kita sama-sama menghayati setiap alunan ayat al-Quran yang kita baca dan membacanya seolah-olah ke atas kita ayat itu diturunkan. Allah telah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 153 bahawa meminta pertolongan itu perlu disertakan dengan kesabaran dan solat kerana Allah sentiasa bersama dengan mereka yang bersabar. Bukankah itu yang kita inginkan? Bersabar dan Allah akan bersama dengan kita. Kemudian Allah mengkhabarkan lagi berita gembira di dalam surah Az-Zumar ayat 10 bahawa mereka yang bersabar akan mendapat pahala yang tidak terhitung, juga di dalam surah Ali Imran ayat 146, bahawa Allah menyayangi mereka yang bersabar. Subhanallah!! Kurniaan yang tidak terhingga buat mereka yang bersabar.


Di dalam surah As-Sajadah ayat 24 Allah telah berfirman:


“Dan kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami”.


Jelas daripada ayat tersebut bahawa Allah menjadikan kepimpinan pada dunia dan agama memerlukan kepada dua perkara iaitu sabar dan yakin. Sabar dalam mengislah individu, keluarga dan masyarakat dan yakin pada Allah.


Di dalam Al-Quran ada menyebut tentang kisah pertemuan antara tentera mukmin yang diketuai oleh Talut dan tentera kafir yang diketuai oleh Jalut bahawa bilangan tentera bukanlah yang menetukan sesebuah kemenangan, tetapi kesabaran dan keyakinan dan tawakkal kepada Allah itulah faktor kepada kemenangan mereka. Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 249-251:


“…Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: Berapa banyak (yang pernah terjadi) golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang –orang yang sabar. Dan apabila mereka yang beriman itu keluar menetang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata; Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami terhadap kaum yang kafir. Oleh sebab itu mereka dapat mengalahkan tentera jalut dengan izin Allah… ”


Sesungguhnya nikmat kesabaran ini tidak akan dapat dirasai melainkan buat mereka yang mengecapinya dan kemenangan tidak akan terhasil melainkan bersamanya kesabaran.


Khalifah Umar Abdul Aziz berkata: “Apabila dianugerahkan oleh Allah kepada seseorang hamba itu satu nikmat, lalu dicabutnya nikmat tersebut dan digantikan dengan sabar, maka apa yang digantikan oleh Allah itu lebih utama daripada yang dicabutnya.”


Maka seorang mukmin itu apabila dia bersabar di atas kehilangan nikmat tersebut, sesungguhnya dia telah membenarkan hadis Nabi saw yang mafhumnya bahawa tiada perkara yang berlaku pada diri seorang mukmin itu melainkan semuanya adalah kebaikan. Apabila ditimpa kesulitan dia bersabar dan apabila mendapat kesenangan dia bersyukur.Kedua-duanya adalah baik untuk dirinya. Dan beruntunglah bagi orang yang bersabar kerana Allah telah menjanjikan pahala yang sempurna dan tidak terhitung buat mereka.


Secara amnya sabar boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sabar daripada melakukan maksiat, sabar di atas bala yang menimpa dan sabar dalam melakukan ketaatan. Walau bagaimanapun, sabar dalam melakukan maksiat dan ketaatan adalah yang paling tinggi kerana berhajat kepada keimanan yang kuat dan meletakkan diri kita berhadapan dengan pilihan untuk melakukan atau meninggalkan. Adapun sabar di atas bala yang menimpa, kita memang tiada pilihan melainkan berhadapan dengannya. Tapi ini bukanlah bermakna sabar di di atas musibah ini senang, bahkan mungkin lebih payah dan luar daripada jangkaan kita.


Sabar yang sebenar bukanlah yang terucap hanya di bibir kemudian hati tidak meredhai, dan bukan jugalah sabar di saat akhir musibah tersebut. Tetapi sabar yang sebenar memerlukan kepada tiga syarat iaitu hendaklah sabar itu ketika di awal kita ditimpa musibah tersebut kemudian segera pula kita mengucapkan “innalillahi wa inna ilaihi raji’un” beserta doa “allahumma ajurni fi musibati wakhlifni khairan minha”. Yang bermaksud kita meyakini bahawa daripada Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan dan moga kita diberi pahala atas musibah yang menimpa kita ini serta digantikan dengan hikmat yang lebih baik. Seterusnya kita bersabar tanpa mengadu kepada manusia. Lihatlah betapa cantiknya sabar yang diajarkan oleh Islam itu. Subhannallah…


Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Begitu juga halnya dengan sabar. Sabar akan menaikkan darjat seorang mukmin itu dan membezakan darjatnya dengan mukmin yang lain. Di samping itu, sabar juga dapat menghilangkan sifat takabbur dalam diri dan menyelamatkan kita daripada tipu daya dunia supaya kita merindui akan kenikmatan syurga yang berkekalan. Dengan ini kita akan sentiasa mengingati Allah dan meyakini bahawa tiada yang berkuasa di dunia ini melainkan Allah swt.


Sabda Nabi saw: “Sesungguhnya jika Allah menyayangi sesuatu kaum, maka Dia akan mengujinya”.


Maha Suci Allah, rupa-rupanya musibah yang diberikan adalah kerana sayangnya Allah pada kita. Oleh itu marilah sama-sama kita menghiasi diri kita dengan sifat sabar serta membanyakkan bacaan kita tentang kisah para nabi dan rasul seperti kisah Nabi Ayyub as, Nabi Ibrahim as, Nabi Yusuf as dan selain daripada mereka yang sangat hebat diuji oleh Allah agar kita dapat mencontohi dan menaikkan lagi tahap keimanan kita Insyaallah...


"Kita selalu mahukan hari yang CERAH, namun ALLAH lebih mengetahui hakikat hujan perlu diturunkan"

No comments: