Salam Ukhwah

Monday, July 23, 2012

Alangkah Cemburunya!


Ramai pasangan mengimpikan kehidupan seperti bahagianya Rasulullah SAW dengan para isteri baginda terutama Khadijah dan Aisyah R.ha. Namun, berapa ramai yang sanggup meniru kesabaran baginda rasul berhadapan dengan karenah isteri-isteri baginda SAW? Salah satunya adalah sifat cemburu.

Cemburu adalah perasaan fitrah yang berada dalam diri setiap manusia. Cemburu yang baik mendorong pelakunya untuk memperbaiki diri menjadi lebih sempurna, sesuai dengan syariat Allah SWT. Tersurat di lembaran sejarah, isteri kecintaan Nabi SAW, Aisyah R.ha seorang yang cemburu. Namun, cemburunya Aisyah adalah merebutkan cinta kekasih Allah demi mendapatkan redho Allah SWT. Pernah suatu ketika, ketika baginda SAW tidur di rumah Aisyah, baginda terjaga di tengah malam. Baginda SAW memastikan Aisyah tidur lena sebelum keluar dari rumah. Tetapi, apa yang dilakukan oleh Aisyah adalah mengekori pergerakan suaminya. Aisyah ingin mengetahui apakah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW hingga sanggup meninggalkan rumahnya sebelum fajar tiba? Tidak jauh dari situ, Aisyah melihat baginda SAW berdiri di Perkuburan Baqi’dan mengangkat tangan sebanyak tiga kali. Agak lama di situ, suaminya pun beredar. Aisyah masih mengekori suaminya hingga tiba di rumah mereka.

Nabi SAW hairan melihat keadaan Aisyah yang menggigil ketakutan menyembunyikan salahnya. “Mengapa kamu menggigil wahai Aisyah?” Tanya baginda. Aisyah menggeleng kepala, enggan menceritakan kejadian tadi. “Khabarkan kepadaku Aisyah atau Tuhan Yang Maha Lembut dan Maha Mengetahui akan memberitahu kepadaku?” pujuk Nabi SAW dengan tenang. Aisyah lalu menceritakan kelakuannya mengekori baginda SAW. Suaminya itu tidak marah, namun memberi persoalan yang boleh difikirkan oleh Aisyah. “Adakah kamu merasa Allah dan rasulNya menzalimi kamu?” Lalu Nabi SAW menerangkan bahawa Jibril telah datang menemui Nabi SAW tetapi enggan memasuki rumah mereka lantaran Aisyah sedang bersama baginda. Jibril menanti di luar rumah baginda SAW dan meminta baginda agar memohon keampunan bagi penghuni perkuburan Baqi’.

Kisah ini mengingatkan kita tentang sikap kebanyakan isteri yang gemar mengambil-tahu setiap yang dilakukan suami, terutama di luar rumah. Naluri wanita yang sarat emosi dan nafsu tidak lepas rasa cemburu dan ingin tahu. Malah, jika boleh divisualkan, para isteri ingin mengetahui sejauh mana rasa cinta suaminya terhadap dirinya. Setinggi gunungkah? Seluas lautankah? Atau sebesar planet bumi? Setiap hari, kebanyakan isteri akan memulakan kehidupan mereka dengan persoalan, berkurang atau tidak cinta suami terhadap dirinya?

Melunakkan Cemburu

Maka, sebagaimana Rasulullah SAW berhadapan dengan karenah cemburu isterinya, begitulah yang patut dicontohi oleh para suami. Melunakkan cemburu isteri perlukan kepada strategi dan kesabaran. Jangan dihapuskan dengan kekerasan. Kisah lain yang menggambarkan kesabaran baginda SAW menghadapi cemburu isteri antaranya ialah peristiwa Aisyah menepis tangan seorang khadam yang membawakan bekas makanan yang dikirimkan Safiyah kepada nabi SAW. Perbuatan tersebut menyebakan bekas makanan jatuh dan pecah. Nabi SAW lalu bangun dan mengutip serpihan bekas tersebut, lalu baginda SAW berkata kepada di khadam, “Ibu anda (Aisyah) cemburu”.
Baginda SAW juga pernah menegur Aisyah secara terus-terang bahawa perbuatan cemburu juga tidak elok. Aisyah bertanya kepada Nabi SAW, “Apakah yang kamu harapkan daripada Safiyyah? Bukankah dia begitu dan begini? (Isyarat bahawa fizikal Safiyah yang pendek). Rasulullah SAW menjawab, “Tahukan kamu wahai Aisyah, kata-kata kamu tadi sekiranya bercampur dengan air laut, sudah tentu akan mengeruhkannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Suami mempunyai kuasa untuk memperbetulkan sikap isteri. Namun, sebelum menegur mereka, suami perlu sedar bahawa isteri adalah manusia yang lemah dan menginginkan perhatian. Tindakan mereka bertitik-tolak daripada cinta kepada suami yang sangat mendalam. Justeru, suami perlu mengingatkan isteru bahawa cinta yang patut diutamakan adalah cinta kepada Allah, melebihi cinta kepada makhlukNya termasuk suami. Dalam hal ini, tugas suami membimbing isteri supaya mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Suami tidak boleh menegur isteri tanpa mereka sendiri menunjukkan tauladan yang baik dan teguran secara berhikmah.

Cemburu Yang Baik

Cemburu bukan sahaja di antara suami isteri, malahan anak-anak. Rasa cemburu wajar ditanamkan dalam jiwa terhadap seluruh ahli keluarga, agar mereka tidak terjerumus ke lembah dosa. Misalnya, seorang suami perlu cemburu jika isterinya tidak menutup aurat. Dia cemburu jika rambut dan tubuh isterinya dilihat oleh lelaki lain. Suami juga perlu cemburu jika isterinya bergelak-ketawa di khalayak ramai dengan meminggirkan akhlak seorang Muslimah. Begitu juga ibubapa, perlu cemburu melihat anak-anak perempuan berpakaian mendedahkan aurat, atau anak-anak lelaki yang bergaul-bebas tanpa batasan. Rasa cemburu dalam hati perlu diiringi tindakan sewajarnya agar pasangan dan anak-anak kembali menghayati perintah Allah SWT.

Orang yang tidak mempunyai rasa cemburu, nalurinya lesu. Cemburu yang baik juga adalah cemburu melihat orang lain bertukus-lumus memperbaiki kedudukannya di sisi Allah SWT dan rasulNya. Hal ini akan mendorong jiwa untuk merebutkan juga peluang menjadi hamba Allah yang terbaik. Orang yang tidak cemburu, akan selesa dengan dirinya seterusnya memadamkan semangat untuk meningkatkan amal kebaikan. Justeru, jika cemburu dapat meningkatkan ketaqwaan, maka biarlah ia berada dalam jiwa. Alangkah cemburunya!

Sumber : http://ummuhani.com

SuaraHati: Saya juga ada perasaan ini, tinggal lagi bagaimana untuk menguruskannya tu yang kadang-kadang saya gagal. Mohon Ya Allah pinjamkan kepadaku kekuatan & panduan.

No comments: