Salam Ukhwah

Thursday, December 10, 2009

Masih Ku Ingat Lagi.. SKJU 1985


Duduk dari kiri: Nasarudin Jabar, Amurudin Arifin, Mohd Azlan Ramli, Norzaedamin Mohd Noji, Cikgu Osman, Cikgu Ibrahim, Cikgu Ismail, Cikgu Rokiah, Ustazah Rohani, Azilawati Ahmad, Norhayati Jalil, Noraziah Hamid & Zainun Abd Aziz.
Bediri dari kiri : Sabariah Yusuf, Arwah Sy. Nurul Akmar, Rosliza Kasim, Haslina Samad, Norzaina Ali, Hafizah Harun, Salmah Hussin, Zalina Yahya, Sy.Norliza Sy Alwi, Fadilah, Zaini Afendi, Norzana Zakaria, Robiah Mohd Amin, Ruslina Mahmood, Norazam Yusuf, Marhasyila Teh Ismail & Jasminah Adnan
Bediri di belakang dr kiri: Norhisham, Hamdan Manaf, Salim Samad, Hasmadi, Shahrin Ahmad, Hiruan Hargal, Rosman Ahmad, Johari, Zaidi, Mohd Syukri Moktar, Saslizan Kamsan & WM Nor.

Masih ku Ingat lagi....

Setiap orang mempunyai pengalaman menarik dan pengalaman pahit masing-masing. Begitulah juga dengan aku. Bermula dari zaman aku mula bersekolah di SK(LKTP) Jenderak Utara (SKJU), pelbagai kenangan pahit manis yang telah aku harungi dan tempohi. Dan kini perkara inilah yang menjadi pengalaman yang sangat berharga buat aku.. Satu nilai yang tidak dapat dijual beli.

Aku memasuki alam persekolahanku di kelas 1 Kuning dimana guru darjah pada masa itu ialah Cikgu Ismail Mohamed. Beliau juga adalah merupaka guru disiplin pada ketika itu, dan apa yang aku masih ingat tentang Cikgu Ismail adalah misainya.. kerana misainya boleh juga saya katakan bahawa ianya sebagai asset atau symbol kepada jawatan & tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya… Cikgu Ismail juga selain dari guru kelas kami beliau mengajar kelas 1 Kuning dengan matapelajaran Bahasa Malaysia & Matematik. Memang Cikgu Ismail terkenal dikalangan murid seorang cikgu yang sangat tegas, pendek kata bila sebut namanya sahaja sudah cukup buat murid-murid jadi kejut.

Semasa belajar dalam darjah ini, aku masih lagi ingat dimana aku pergi ke sekolah hanya dengan berjalan kaki bersama-sama dengan kawan-kawan sepermainan. Jarak rumah ke sekolah lebih kurang hampir 2km. Teringat kepada Cikgu yang kebetullan sebagai guru ganti bagi matapelajaran Bahasa Ingeris iaitu, Cikgu Nazri. Suatu petang mungkin pada pandangan mata beliau nampak keadaan aku yang tidak selesa, lemau & lemah.. melihat keadaan aku begitu Cikgu Nazri mengajukan soalan kepada ku “kenapa dengan kamu” demam? Aku menggelengkan kepala. Habis? Mengantuk? Aku jugak gelengkan kepala.. cikgu Nazri bertanya lagi… kamu lapar? Aku terdiam.. (memang aku sedang menahan kelaparan pada waktu itu) lalu Cikgu Nazri menghulurkan aku duit 30 sen dan disuruhnya aku makan di kanten pada waktu itu juga. YaALLAH hingga ke saat ini aku masih terbayang-bayang wajaht ulus ikhlas Cikgu Nazri dengan kopiahnya yang berwarna hijau itu… Dimana Cikgu Nazri saat ini.. Ya ALLAH berkatilah akan dia.. (pada masa tu memang jarang sekali aku mendapat bekalan duit poket sebagai belanja, segalanya serba kurang biasanya aku dibekalkan nasi belaukkan telur mata).
Semasa belajar di kelas 1 Kuning ini juga, apa yang boleh aku banggakan ialah, aku tidak pernah menangis walaupun aku tidak pernah mempunyai pengalaman pra-persekolahan. Antara rakan-rakan sekelas yang masih aku ingat bersamaku dahulu di kelas ini ialah Ruslina Mamood (kini telah punyai lebih dari 3 orang anak) Sabariah Yusof (Guru J-QAF di Melaka) dan Zainun Abd Aziz (Pegawai Kewangan), Norzana Zakaria (Berkhidmat di Proton Shah Alam) Azilawati bt Ahmad (Guru di Temerloh ), Mohd Syukri Moktar(Guru) dan ramai lagi…

Semasa aku bersekolah di darjah 2 & 3 juga berada di kelas Kuning, guru kelas juga masih Cikgu Ismail. Beliau adalah juga guru yang mengajar aku Matematik. Aduh! Sengsara betul kalau tiba time kelas beliau mengajar Matematik pasti sifir menjadi mukaddimah sebelum memulakan pengajaran. Aku adalah antara pelajarnya yang lemah tetapi selemah-lemah aku, aku pasti dapat melaksanakan bacaan sifir walaupun tidak begitu lancar dan aku terkecuali dari menghadapi denda berdiri atas kerusi atau perkara yang selalu dilakukan oleh beliau sebagai hukuman adalah dgn menarik anak rambut. Aduiii ianya sangat memeritkan. Tetapi itulah cara beliau yang sangat terkesan dihati kami sebagai anak muridnya. Mungkin bukan kerana dengan menarik anak rambut kami tidak akan kesahkan tentang sifir.

Aku kemudiannya telah naik ke Darjah 6 Kuning. Gah rasanya menjadi pelajar senior dan juga telah mula dengan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun itu merupakan tahun pertama diperkenalkan UPSR (sebelum ini disebut Penilaian Darjah 5) Guru kelasku pada masa ini ialah Cikgu Zainudin juga guru matapelajaran Bahasa Melayu & Matematik. 1 Kenangan yang tidak dapat aku lupakan dalam darjah 6 adalah pernah suatu hari Cikgu Zainudin meminta semua murid mencipta pantun / sajak / ucapan ringkas sempena Hari Raya Aidilfitri dan dijanjikan hadiah kepada mana-mana murid yang dapat menghasilkannya dengan baik. Aku dengan penuh yakinnya ketika itu menjadi sebahagian murid yang membaca sajak yang telah aku hasilkan sendiri. Memang aku sendiri pun tak sangka bahawa aku terpilih dan dipilih sebagai coretan yang terbaik. Jadi sebagai ganjarannya Cikgu Zainudin berjanji akan mengunjungi rumah aku pada hari raya nanti dan Cikgu telah menunaikan janjinya… (Terima Kasih Cikgu Zainudin)

Rakan-rakan ku semasa di darjah 6 Kuning ini boleh dikatakan nakal-nakal tetapi tidaklah sampai ketahap mencabar kewibawaan guru pada ketika itu. Senakal mana pun murid rasa takut dan gerun pada cikgu masih lagi menebal. Apabila saat sekolah hampir ditutup untuk cuti hujung tahun, kelas aku juga telah menganjurkan jamuan perpisahan kerana selepas ini, ada di antara kami akan berpisah.

Sepanjang belajar di sekolah rendah ini.. di SKJU yang tercinta ini.. aku banyak belajar menjadi seorang manusia yang berdikari dan yang paling utama sekolahku telah mengajar aku bersosial dan berinteraksi sesama manusia. Memang aku sendiri akui aku adalah seorang pelajar yang kurang berkeyakinan namun kini aku tetap sebahagian daripada sejarah sekolahku.. SKJU 1983-1988. Terima kasih ayah... terima kasih mak.. kerana menghantar aku ke sekolah. Terima kasih juga buat cikgu-cikgu sekalian atas usaha murni kalian dan HALALkan Ilmu yang telah kalian curahkan buat kami.

Suara Hati : Andai dapat ku undur masa.. akan ku perbaiki agar aku menjadi yang lebih baik.. namun masa yang berlalu tetap juga akan berlalu...


No comments: