“Su, tolong bagi aku nasihat. Aku bukan tak terima ketentuan
Allah. Aku tau Allah sedang bagi aku yang terbaik. Aku cuma sedih. Aku sedih
betul, rasa macam tiada tempat untuk tanganku berpaut..”
Begitu SMS yang mengetuk peti masuk telefon bimbit. Aduh, jiwa
saya terus terasa sayunya. Berfikirlah saya hendak balas apa. Kesedihan orang,
jangan ditambah. Nanti dia lagi tambah lemah jiwa. Maka saya cuba menyusun
ayat, biar tidak menambah luka.
Kenapa kita sedih bila yang berlaku tidak sesuai dengan
keinginan kita walaupun kita sudah berusaha keras bersusah-payah untuk apa yang
kita hendak capai atau perolehi? Perkara ini pernah saya bualkan dengan seorang
sahabat. Sedar tidak sedar, Tea C Special yang disedut-sedut sepanjang
perbualan, sudah habis. Banyak faktornya sebenarnya yang mungkin buat kita rasa
sedih dan terasa diri kita ini seperti loser.
Tetapi fikir saya, sesiapa pun akan merasa sedih. Walaupun tahu
Allah SWT lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Namun fitrah jiwa, begitulah.
Tapi kalau kita pandu jiwa dan jasad kita dengan sesuatu yang kita, insya-Allah
hilanglah kesedihan itu berganti pasrah.
Kita
Dan Kecewa Dalam Hidup
Saya percaya, kalau kita selalu fikirkan kekecewaan, maka
pastilah kekecewaan itu akan menjadi lazim dalam hidup kita. Tapi, mari kita
imbas sebentar. Kita akan sedih dan kecewa apabila pilihan hati menolak kita.
Kita mungkin akan berdukacita apabila belum lagi masanya untuk kita melanjutkan
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Ada juga yang resah dan sedih
bila masih belum bertemu jodoh walaupun usia semakin meningkat dan mulai
tertanya-tanya, “Teruk
sangatkah rupa aku sampai takda orang yang nak?” Kita hampa terhadap diri sendiri
apabila masih belum kelihatan berjaya seperti kawan-kawan yang lain. Pendek
kata, kita akan kecewa terhadap hidup ini apabila sesuatu yang kita kejar dan
ingin capai dalam hidup tidak kesampaian.
Betul, kan?
Ada orang dia akan sedih mula-mula saja, lama-lama nanti dia
akan baiklah. Dia teruskan hidup macam biasa, dan terus berusaha pula dengan
jalan lain. Tapi ada orang tidak boleh move on dengan apa yang berlaku dalam
hidupnya. Pada dia, diri dia teruk sangat dan hidup ini seakan tidak adil. Nah,
di mana Allah SWT dia letakkan ketika itu? Tiada. Ada yang tidak memikirkan
Allah SWT kerana kekecewaan yang sudah menyelubungi jiwa. Allah sudah tiada
dalam fikirannya. Yang dalam fikirannya hanya kekecewaannya.
Kalau saya boleh katakan kepada sesiapa yang berfikiran
sedemikian, saya akan katakan; Bersabarlah. Tenangkan fikiran. Setiap apa yang
berlaku dalam hidup kita sebenarnya, walau tidak terjadi seperti apa yang kita
harapkan dan apa yang kita duga, adalah merupakan ketentuan dan takdir Allah
SWT. Kita kena paksa dan didik jiwa kita untuk percaya dan yakin bahawa semua
yang berlaku terhadap diri dan kehidupan kita, baik seperti yang kita mahukan
atau pun yang sebaliknya, adalah rahmat daripada Allah SWT.
Saya pasti, kita semua pernah terdengar atau selalu baca firman
Allah SWT ini.
“..dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang itu adalah yang
baik bagimu; dan boleh jadi kamu suka sesuatu, sedangkan itu bukan yang terbaik
untukmu. Dan Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah
al-Baqarah: Ayat 216)
Kita kena sedar kelemahan kita sebagai seorang hamba, dan
ceteknya ilmu kita mengenai baik buruk sesuatu yang kita mahukan dalam
kehidupan itu, tidak setanding dengan pengetahuan Allah SWT, yang menciptakan
kita sejak kita belum menjadi seketul daging di dalam rahim ibu kita pun. ita
ini, ada waktunya kena berkeras dengan diri sendiri. Jangan terus melemah dan
memberontak, biar kita melihat perancangan Allah SWT untuk kehidupan kita itu
adalah yang TERBAIK. Kena yakin itu.
Rahmat
Allah Itu Bermacam-Macam
Apabila Allah SWT ingin memberikan sesuatu yang baik kepada
seseorang itu atau rahmat Allah SWT itu, saya sangat percaya bahawa dengan
kekuasaan Allah SWT, semua itu akan datang dalam pelbagai bentuk dan gambaran
yang berbeza-beza dimata manusia. Boleh jadi dalam bentuk-bentuk kebaikan. Dengan
cara seiring dengan apa yang kita hajatkan dan hendak capai. Dan adakalanya
rahmat dari Allah SWT itu dalam ketetapan yang bertentangan dengan apa yang
kita inginkan.
Sebenarnya kalau difikir-fikir, kita ini laksana anak kecil yang
menginginkan semua yang kita nampak menarik. Masih ingatkah kita sewaktu kecil
apabila kita merengek mahukan sesuatu? Dan kita berusaha meminta kepada ibu
atau bapa kita. Tetapi kerana ibu bapa kita tahu apa yang kita nampak menarik
itu, tidak baik untuk kita, maka ditolaknya permintaan kita. Adakah kerana ibu
bapa kita itu jahat? Tidak! Kerana ibu bapa kita sayang dan cinta kepada kita.
Mereka tahu, ada bahaya kalau kemahuan kita dituruti.
Nah! Begitu jua keadaannya apabila kita memberontak sendiri,
kerana apa yang kita mahukan dalam hidup di usia dewasa ini tidak tercapai.
Kita berdoa untuk itu dan ini, tetapi kononnya Allah SWT tidak pernah kabulkan
permohonan kita. Sedangkan sebenarnya, setiap permintaan yang dikabulkan oleh
Allah SWT, dan setiap penolakan terhadap apa yang kita dambakan itu, dua-dua
adalah rahmat dan nikmat daripada Allah.
Malah tidak keterlaluan apabila ada yang mengatakan bahawa Allah
SWT tidak pernah menolak doa. Bahkan dia menggantikan dengan sesuatu yang lain,
yang jauh lebih baik untuk diri kita dan kehidupan kita. Masya-Allah,
tabaarakallah!
Imam Ibnu Athaillah Assakandary pernah berkata,
“Apabila Allah memberi kepadamu, nescaya Dia saksikan kepadamu
kebaikan-Nya. Dan apabila Dia menolakmu, nescaya Dia saksikan kepadamu
kekuasaan-Nya. Maka Dia (Allah) di dalam semua itu memperkenankan dan
menghadapkan kepadamu dengan sifat kehalusan-Nya kepadamu..”
Allahuakbar.
Banyak waktu kita ini selalu memusuhi apa yang kita tidak tahu
dan apa yang kita tidak mahu. Walhal, ada cerita disebaliknya yang sedang
dihantarkan oleh Allah SWT untuk kesejahteraan hidup kita. Kerana apa? Kerana
hati kita masih banyak noda sebenarnya.
Jangan
Sangsi Terhadap Allah SWT
Siapa yang tidak teruji dalam kehidupan ini kan? Tapi itu bukan
tiket untuk kita mahu rasa seperti melupakan Allah SWT. Kita cakap pada diri
sendiri, “Allah tu Maha Berkuasa, kenapa Dia tak mudahkan saja perjalanan
hidupku ni? Ah!” Senyum.
Saya cuma boleh katakan, tiada kemanisan jika tiada perjuangan
untuk sesuatu yang kita mahukan. Allah SWT sudah cukup baik dengan tidak
membiarkan kita, dan berkali-kali mahu menyedarkan kita dalam pelbagai situasi.
Kita ini saja, yang selalu tidak melihat kebaikan dan kemurahan Allah SWT.
Sebab apa? Sebab kita hanya mahu apa yang mata kita lihat. Tetapi tidak mahu
memahami apa yang mungkin sedang Allah aturkan.
Selagi hayat dikandung badan, selagi Islam menjadi pegangan,
selagi kita masih seorang Muslim, sepatutnya selama itulah kita tidak perlu
kecewa walaupun perjalanan kehidupan kita tidak seperti yang kita jangkakan.
Teringat sabda Rasulullah SAW,
“Demi zat yang diriku ada ditangan-Nya, tiadalah Allah menentukan
sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang mungkin melainkan akan membawa kebaikan
kepadanya..” (Hadis Riwayat Muslim)
Jika sahaja kita dapat melihat perjalanan kita yang dengan
cantik Allah SWT sudah aturkan, mungkin kita akan lebih malu dan tertunduk malu
kepada Allah SWT. Cuba tanyakan diri kita. Kita selalu bersyukur, atau
sebaliknya?
Penuhkan
Hidup Ini Dengan Syukur
Bila Allah SWT kabulkan apa yang kita inginkan, bersyukurlah.
Jika kita tidak dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Sama ada Allah SWT
makbulkan atau tidak, yang pada pandangan kita diterima atau ditolak, yakinlah
bahawa yang ditolak itu ada penggantinya yang lebih baik. Kita cuma perlu
menjadi seorang hamba yang merendah diri dengan Tuhannya, jalani hidup seperti
biasa. Beribadah dengan ikhlasnya kepada Allah.
“Tiadalah sesuatu kesusahan yang dititipkan di bumi, dan tiada
pula yang menimpa dirimu, melainkankan telah sedia ada dalam kitab (pengetahuan
Kami) sebelum Kamijadikannya; sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah.
(Kami katakan demikian) supaya kamu tidak bersedih hati atas apa yang telah
luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (menyombong dan berbangga)
dengan apa yang diberikan kepada kamu..” (Surah al-Hadid: Ayat 22 & 23)
Nanti-nanti, pasti Allah SWT akan kirimkan sesuatu buat kita.
Yang penting, jangan cepat berputus-asa wahai kawan. Hidup di
dunia ini tidaklah lama mana, kita pun tidak tahu umur kita sampai berapa
tahun. Bila tengok pula pada amal ibadah dan amal jariah, aduhai tersangat
sikitnya rasa. Dari kita sibuk-sibuk mahu melayan perasaan sangka buruk,
baiklah kita mencari jalan untuk membuat kebaikan.
Pssst! Kadang-kadang, Tuan Punya Dunia itu ada banyak cara untuk
cuit dan jentik kita. Biar kita tidak terus mengelamun di dunia, dan sedar
bahawa kita masih belum ada di syurga. Selagi kita belum ada di syurga, selagi
itu kita tidak berhenti berusaha.
Senyum Dan syukur. Semoga ALLAh merahmati.
Kadang-kadang kita seakan tersesat sendiri dalam kemahuan jiwa dan ketentuan Allah.
Sumber : http://cintailahi.com