Ramai pasangan mengimpikan kehidupan seperti bahagianya Rasulullah
SAW dengan para isteri baginda terutama Khadijah dan Aisyah R.ha. Namun,
berapa ramai yang sanggup meniru kesabaran baginda rasul berhadapan
dengan karenah isteri-isteri baginda SAW? Salah satunya adalah sifat
cemburu.
Cemburu adalah perasaan fitrah yang berada dalam diri setiap manusia.
Cemburu yang baik mendorong pelakunya untuk memperbaiki diri menjadi
lebih sempurna, sesuai dengan syariat Allah SWT. Tersurat di lembaran
sejarah, isteri kecintaan Nabi SAW, Aisyah R.ha seorang yang cemburu.
Namun, cemburunya Aisyah adalah merebutkan cinta kekasih Allah demi
mendapatkan redho Allah SWT. Pernah suatu ketika, ketika baginda SAW
tidur di rumah Aisyah, baginda terjaga di tengah malam. Baginda SAW
memastikan Aisyah tidur lena sebelum keluar dari rumah. Tetapi, apa yang
dilakukan oleh Aisyah adalah mengekori pergerakan suaminya. Aisyah
ingin mengetahui apakah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW hingga
sanggup meninggalkan rumahnya sebelum fajar tiba? Tidak jauh dari situ,
Aisyah melihat baginda SAW berdiri di Perkuburan Baqi’dan mengangkat
tangan sebanyak tiga kali. Agak lama di situ, suaminya pun beredar.
Aisyah masih mengekori suaminya hingga tiba di rumah mereka.
Nabi SAW hairan melihat keadaan Aisyah yang menggigil ketakutan
menyembunyikan salahnya. “Mengapa kamu menggigil wahai Aisyah?” Tanya
baginda. Aisyah menggeleng kepala, enggan menceritakan kejadian tadi.
“Khabarkan kepadaku Aisyah atau Tuhan Yang Maha Lembut dan Maha
Mengetahui akan memberitahu kepadaku?” pujuk Nabi SAW dengan tenang.
Aisyah lalu menceritakan kelakuannya mengekori baginda SAW. Suaminya itu
tidak marah, namun memberi persoalan yang boleh difikirkan oleh Aisyah.
“Adakah kamu merasa Allah dan rasulNya menzalimi kamu?” Lalu Nabi SAW
menerangkan bahawa Jibril telah datang menemui Nabi SAW tetapi enggan
memasuki rumah mereka lantaran Aisyah sedang bersama baginda. Jibril
menanti di luar rumah baginda SAW dan meminta baginda agar memohon
keampunan bagi penghuni perkuburan Baqi’.
Kisah ini mengingatkan kita tentang sikap kebanyakan isteri yang
gemar mengambil-tahu setiap yang dilakukan suami, terutama di luar
rumah. Naluri wanita yang sarat emosi dan nafsu tidak lepas rasa cemburu
dan ingin tahu. Malah, jika boleh divisualkan, para isteri ingin
mengetahui sejauh mana rasa cinta suaminya terhadap dirinya. Setinggi
gunungkah? Seluas lautankah? Atau sebesar planet bumi? Setiap hari,
kebanyakan isteri akan memulakan kehidupan mereka dengan persoalan,
berkurang atau tidak cinta suami terhadap dirinya?
Melunakkan Cemburu
Maka, sebagaimana Rasulullah SAW berhadapan dengan karenah cemburu
isterinya, begitulah yang patut dicontohi oleh para suami. Melunakkan
cemburu isteri perlukan kepada strategi dan kesabaran. Jangan dihapuskan
dengan kekerasan. Kisah lain yang menggambarkan kesabaran baginda SAW
menghadapi cemburu isteri antaranya ialah peristiwa Aisyah menepis
tangan seorang khadam yang membawakan bekas makanan yang dikirimkan
Safiyah kepada nabi SAW. Perbuatan tersebut menyebakan bekas makanan
jatuh dan pecah. Nabi SAW lalu bangun dan mengutip serpihan bekas
tersebut, lalu baginda SAW berkata kepada di khadam, “Ibu anda (Aisyah)
cemburu”.
Baginda SAW juga pernah menegur Aisyah secara terus-terang bahawa
perbuatan cemburu juga tidak elok. Aisyah bertanya kepada Nabi SAW,
“Apakah yang kamu harapkan daripada Safiyyah? Bukankah dia begitu dan
begini? (Isyarat bahawa fizikal Safiyah yang pendek). Rasulullah SAW
menjawab, “Tahukan kamu wahai Aisyah, kata-kata kamu tadi sekiranya
bercampur dengan air laut, sudah tentu akan mengeruhkannya.” (Hadis
Riwayat Abu Daud).
Suami mempunyai kuasa untuk memperbetulkan sikap isteri. Namun,
sebelum menegur mereka, suami perlu sedar bahawa isteri adalah manusia
yang lemah dan menginginkan perhatian. Tindakan mereka bertitik-tolak
daripada cinta kepada suami yang sangat mendalam. Justeru, suami perlu
mengingatkan isteru bahawa cinta yang patut diutamakan adalah cinta
kepada Allah, melebihi cinta kepada makhlukNya termasuk suami. Dalam hal
ini, tugas suami membimbing isteri supaya mentaati segala perintah
Allah dan meninggalkan laranganNya. Suami tidak boleh menegur isteri
tanpa mereka sendiri menunjukkan tauladan yang baik dan teguran secara
berhikmah.
Cemburu Yang Baik
Cemburu bukan sahaja di antara suami isteri, malahan anak-anak. Rasa
cemburu wajar ditanamkan dalam jiwa terhadap seluruh ahli keluarga, agar
mereka tidak terjerumus ke lembah dosa. Misalnya, seorang suami perlu
cemburu jika isterinya tidak menutup aurat. Dia cemburu jika rambut dan
tubuh isterinya dilihat oleh lelaki lain. Suami juga perlu cemburu jika
isterinya bergelak-ketawa di khalayak ramai dengan meminggirkan akhlak
seorang Muslimah. Begitu juga ibubapa, perlu cemburu melihat anak-anak
perempuan berpakaian mendedahkan aurat, atau anak-anak lelaki yang
bergaul-bebas tanpa batasan. Rasa cemburu dalam hati perlu diiringi
tindakan sewajarnya agar pasangan dan anak-anak kembali menghayati
perintah Allah SWT.
Orang yang tidak mempunyai rasa cemburu, nalurinya lesu. Cemburu yang
baik juga adalah cemburu melihat orang lain bertukus-lumus memperbaiki
kedudukannya di sisi Allah SWT dan rasulNya. Hal ini akan mendorong jiwa
untuk merebutkan juga peluang menjadi hamba Allah yang terbaik. Orang
yang tidak cemburu, akan selesa dengan dirinya seterusnya memadamkan
semangat untuk meningkatkan amal kebaikan. Justeru, jika cemburu dapat
meningkatkan ketaqwaan, maka biarlah ia berada dalam jiwa. Alangkah
cemburunya!
Sumber : http://ummuhani.com
SuaraHati: Saya juga ada perasaan ini, tinggal lagi bagaimana untuk menguruskannya tu yang kadang-kadang saya gagal. Mohon Ya Allah pinjamkan kepadaku kekuatan & panduan.