Salam Ukhwah

Thursday, March 8, 2012

Kerana Yang SATU Kami Bersatu

Kerana Yang SATU kami di satukan & kami bersatu.
 
Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi atas kasih dan sayang-NYA, kami masih berpeluang ‘ada bersama’ pada tahun yang ke-4 dan moga hingga seterusnya kehujung hayat tetap bersama. Syukur sangat dipanjatkan ke hadrat ilahi kerana dengan limpah rahmatnya yang tak terkata serta tidak terhitung banyaknya. Syukur masih diberi kurnia kudrat melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Beberapa hari lagi genaplah 4 tahun usia perkahwinan saya & suami.

Terima kasih Ya Allah kerana telah meminjamkan kepada hamba-MU seorang lelaki sebagai suami yang baik lagi budiman. ‘Ya Allah engkau ilhamkanlah kepadaku untuk aku terus sentiasa ikhlas dalam melaksanakan khidmat dan tanggunjawab sebagai isteri disenangi oleh suaminya’.

48 bulan berlalu saya mendapat pelajaran bahawa :
Di dalam perkahwinan, cantik bila ada mawaddah dan rahmah, teguh bila ada pengorbanan dan perjuangan. Alam perkahwinan adalah "miniature" (kecil) syurga Allah. Iaitu rumahtangga adalah gambaran kecil syurga di akhirat kelak. Di dalam perkahwinan ada ketenangan, ada tawakkal, ada teguran, ada perubahan, ada pembaikan, ada seribu macam perasaan. Di dalam perkahwinan juga perlu ada mujahadah melawan syaitan, keegoan, ananiyah dan kejahilan. Perkahwinan adalah perjanjian untuk sama-sama menjadi hamba Allah, mempraktikkak segala ilmu yang dipelajari, berusaha mencontohi Nabi SAW di dalam segenap aspek, suatu cita-cita tinggi, sekiranya ada zuriat diharapkan mereka meneruskan cita-cita dan perjuangan.

Tahun yang ke-4 ini kami masih berdua, masih bermadu kasih dalam bulan yang madu. Hingga hari ni selepas 48 bulan kami membina rumahtangga kami masih belum dikurniakan cahayamata. Hari ke hari kami menghitung, bulan ke tahun juga kami tetap menunggu dan berharap moga-moga diizinkan rezeki ke atas kami untuk merasa nikmat bergelar ibu & ayah. Besar harapan kami, kerana kami tahu bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa. Maka saya sentiasa berharap dan meletakkan kebegantunggan hanya kepada-YA. Saya dan suami telah berjumpa doctor, dan kami disahkan mempunyai potensi untuk menjadi ibu & ayah secara normal. Harapan saya tak pernah tak tinggi. Sebab Allah Maha Mengetahui lagi Bijaksana dalam aturan-NYA.

Membaca dan meneladani kisah Nabi Zakaria menjadikan kami rasa tetap yakin dan sentiasa yakin akan anugerah ini. Diceritakan Nabi Zakaria berusia 90thn lebih dalam Sejak masih muda beliau kedua suami isteri itu ingin beroleh seorang anak. Makin bertambah tuanya, hasrat untuk beroleh anak itupun semakin hebat juga tumbuh di dalam jiwa kedua suami isteri itu. Inilah yang menyebabkan kedua orang suci ini sedih dan gundah selalu, apalagi menurut kebiasaan, orang yang sudah tua seperti mereka itu, tidak mungkin lagi beroleh anak., Namun Kuasa Allah yang MAHA KUASA yang menentukan segalanya… Mudah sahaja bagi ALLAH untuk mengadakan sesuatu. “Kun faya kun”. 

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. (surah ali-imran, ayat 38)
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika dia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat) dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi. (surah al-anbiya, ayat 89)

Kini kami masih membilang hari. Saya tak tahu sampai bila tapi kami tak akan jemu. Kami tak pernah kenal erti lelah untuk berusaha. Apa sahaja jalan yang ada, kami akan laluinya. Insya Allah. Moga Allah mengilhamkan kepada kami jalan dan cara yang bagaimana harus kami usahakanya lagi. Mungkin dalam pengetahuan kami, kami merasakan anak adalah hadiah terbaik untuk kami tapi sebenarnya mungkin tidak. Allah Maha Mengetahui.

Mungkin kami terlalu mengangankan untuk menjadikan zuriat kami yang terbaik & sempurna sedangkan dalam pengetahuan Allah kami tak mampu dan kemampuan kami sangat terbatas, maka sebab itu DIA tangguhkan rezeki itu kepada kami. Sesungguhnya perancangan DIA adalah yang terbaik ke atas tiap-tiap hamba-NYA. Sebagai hambaNya, saya perlu memperlengkapkan diri dengan ilmunya yang luas buat perisai atau penjaga emosi dalam mendepani hari-hari mendatang. Tidak ada yang lain tempat saya bergantung harap selain dariNya. Segala yang ada di dunia adalah pinjaman semata-mata sahaja

Saya hanya wanita akhir zaman yang lemah. Kadang-kadang saya selalu gak tewas dengan soalan-soalan dari mereka. Seolah saya sangat bersalah di mata mereka dek kerana hanya saya belum mampu mengandung. Lidah mereka terlalu tajam dan ringan untuk memperkatakan sesuatu yang tak sanggup didengar oleh saya sendiri. Sering kali hati ini terhiris lagi. Ada masanya macam susah nak terima semua tuh. Namun akan saya gagahi juga untuk mengubati luka ini. Dalam hati selalu bertanya sendiri, 

“Tidakkah mereka percaya dengan kuasa Allah?” 

“Kenapa saya perlu disoal siasat dengan soalan yang bernada sindiran?”
Bukan kehendak dan pilihan saya untuk tidak mengandung. Merancang untuk mengandung, bukanlah sama seperti kita merancang untuk beli itu dan ini di kedai runcit atau di supermarket, juga tak sama macam kita nak pilih ikan di pasar. Saya sangat teringin untuk mengandung, tapi saya belum lagi berjaya. Boleh jadi belum rezeki saya lagi Allah nak bagi. Tapi saya tak dapat dan tak mampu nak mengubah pemikiran mereka dan juga tak boleh nak edit soalan-soalan mereka, apa yang hanya termampu adalah saya boleh mengubah diri saya sendiri. Saya perlu bersikap terbuka dan saya perlu banyak mencari ilmu mempertahankan emosi agar tidak menjadi terlalu sensitif, dan saya kena sentiasa yakin bahawa :

“Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah jua” Kerana Nabi berpesan :- “Sesiapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billah, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit, yang paling ringan adalah kebimbangan”. (HR Tabrani)
Syukur atas Nikmat yang Allah pinjamkan ini, kami bahagia walau tanpa zuriat, Banyak lagi nikmat dari Allah yang kami perolehi. Tidak tertulis untuk dinyatakan dan tidak terjangkau untuk dihitung. Alhamdulillah!! Semoga kebahagiaan ini kekal abadi. Semoga suamiku akan tetap disisi dalam suka dan duka. Semoga kami dipelihara dari ngangguan serta tipu daya syaitan dan manusia. Moga kami tidak cepat melatah dengan dugaan duniawi ini dan moga rumahtangga kami terus rukun dan damai. Kerana kami yakin kalau pun kami tidak dikurniakan anak, boleh jadi ada hadiah dan anugerah lain yang Allah nak bagi, cuma kita je yang tak tahu. Kan??
4 tahun ini berlalu dan kami terus mengira. InsyaAllah.
SuaraHati : Saya menyeru kepada diri sendiri untuk melihat dan bermusahasabah. Apakah dugaan ini begitu berat wal hal lebih ramai yang diluar sana menerima kecaman dan dugaan yang lebih berat dari ini. Syukur dan sabar sebagai penawar.

7 comments:

Unknown said...

akak..teguhkan kesabaran...bukan akak yang tak dapat anak sahaja dimajukan soalan sebegitu...orang yang ada anak ramai pun diperkotak katikkan...usah kalah dengan mereka... Allah pasti bersama dengan kita akak...perjalanan hidup masih panjang akak... semua itu bukan dipinta..selama berkenal, akak terlalu luhur..baik budi pekerti...:)

Jasmin said...

Terima kasih mai sudi singgah laman akak nih...

terima kasih jugak atas kata semangat dan terasa terpujuk akak nih... sesungguhnya hadirnya kesabaran dan ketahanan itu 10% diri kita, 10% org keliling kita dan 80% lagi bagaimana hubungan kita dgn ALLAH..

mungkin dgn dugaan yang ini mendekatkan lagi kita kepada-NYA. Insyaallah

BAKKAD said...

Ujian sebagai tanda kasih sayang ALLAH..

Anonymous said...

kak Jas..insyaallah..mudah-mudahan org yg selalu tanya tu akan tewas dengan kesabaran ko kak...tapi it's normal..be strong sis..

Jasmin said...

Anonymous - Fuzah (UTM JB)

mekasih fuzah atas kata2 semangat yang sangat berkesan.

kamsiah ab karim said...

Allah Maha Mengetahui...Siapa kita untuk mempersoalkan semua itu. Sesungguhnye ujian itu memberi ruang untuk lebih mendekatiNya. Tetap mendoakanmu wahai sahabatku sayangg

Jasmin said...

kamsiah ab karim...
mekasih atas doa yg tak putus2 untuk sahabatmu ini...