Salam Ukhwah

Sunday, July 11, 2010

Duhai Emak....

Emak yang dikasihi… Saoma bt Saleh. dilahirkan 68thn yang lalu di sebuah kampung yang dikenali Kg. Kerambit terletak dalam daerah Kuala Lipis. Emak dilahirkan bersama saudara kembarnya.. tapi umur saudaranya tak panjang. Emak dibesarkan oleh Uwan & Akinya dek kerana pada ketika itu dikatakan ibunya (Uwan Akula ni maknanya) memberi tumpuan kepada saudara kembarnya yang tidak sihat.

Ketika usia remaja emak, uwannya telah meninggal dunia dan emak kembali ke pangkuan ibu & ayahnya. Disitu emak dibesarkan bersama adik beradiknya yang lain seramai 7 orang dan emak anak yang ke-4.


1960 Emak telah dipertemukan jodoh dengan ayah aku (Adnan bin Ibrahim), pertemuan yang diatur oleh orang tua. Dengan izin Allah emak selamat menjadi isteri kepada jejaka yang sebenarnya mempunyai pertalian keluarga juga dengannya.. (adalah bau-bau bacang kot rasanya).. ermmm ayah merupakan anak sedara 2 pupu kot ngan emak. Begitulah lebih kurang.. orang tua dulu-dulu memang gitu kan? kebanyakan antaranya mereka lebih suka jodohkan anak mereka kalangan saudara mara.

Setahun kemudian emak melahirkan anak sulong (Jamiah bt Adnan). Kemudian 2 tahun kemudian Abg Ngah dan terus melahirkan setiap 2 tahun sehingga aku anak yang ke-8. Ketika emak melahirkan aku usianya menjangkau 36 tahun. Kemudian 6 tahun berikutnya lahir anak yang ke 9 diikuti 2 tahun kemudian adik bongsu kami. Maksudnya, boleh dikatakan hampir seluruh kehidupan emak berkisar kepada melahirkan, membesarkan dan memberi perhatian kepada anak-anaknya.


Menurut ceritanya seramai anak yang dah lahir 7 orang sebelum aku semuanya bersalin hanya dirumah tapi bila sampai anak ke-8 emak menghadapi komplikasi yang memaksa emak berulang alik ke hospital berhampiran iaitu hospital Kuala Lipis. Aku masih tak dapat nak membayangkan bagaimana kesusahan emak dengan menguruskan 7 orang anak yang lain dalam keadaan kesihatannya tidak menentu dan terpaksa pulak ulang alik ke hospital bagi rawatan berkala ketika emak mengandungkan aku.. Emak sangat kuat bagi aku.. emak sangat hebat dihati aku. Kesukaran emak melahirkan aku di Hospital Kuala Lipis pada waktu itu memaksa emak dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Aku masih tidak dapat membayangkan kesakitan emak dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur dengan kemudahan yang serba kurang pada waktu itu.

Alhamdulillah sesampainya di HKL maka aku selamat dilahirkan jam 2.15 pagi pada 27hb September. Lum habis disitu ketika zaman kecil, aku memang selalu sakit, macam-macam sakit, macam-macam insiden yang berlaku dek kerana keligatan & kelasakan aku. emaklah orang yang paling sabar mengawasi aku.. orang paling setia melayan bemacam kerenah dan ragam aku ketika itu, dan emak juga yang bersengkang mata menjaga aku tatkala aku demam. Teringat satu masa aku demam dan masa tuh emak membarutkan perut aku dengan sejenis daun yang telah dilayukan menggunakan api pelita. Aduh sayunya hati bila terkenang saat itu. Mungkin pada masa itu aku manja TERlebih kot kerana aku berusia hampir 7 tahun baru dikurniakan adik. Teringat kembali berlaku satu insiden ke atas diri aku.. huhuhu.. sangat dramatik(biarlah menjadi rahsia & kenangan) emak juga yang tanpa jemu mencuci luka aku setiap hari ketika usia aku 6thn.


Masa berlalu emak melahirkan kami 10 beradik (termasuk seorang yang telah meninggal). Diusia emak 44 tahun emak melahirkan anak bongsunya melalui kaedah pembedahan. Seusianya itu juga emak tetap tekun & setia menolong ayah bekerja diladang dengan kudratnya yang terhad namun kesungguhan emak mengatasi segala-galanya semata-mata untuk memastikan perut anak-anaknya tidak kosong dan sekolah kami tidak ternganggu.

Emak memang sangat hebat walaupun dia tak pernah bersekolah tapi emak pandai mengira kerana emak telah diberi kepercayaan menjadi bendahari keluarga oleh ayah.

Sehingga kini...

Alhamdulillah emak masih dikurniakan nikmat kesihatan, emak masih aktif dengan aktiviti harianya, cuma sesekali ada juga mak demam. Bila time emak demam memang sangat mengusarkan.. kerana emak disaat demamnya dia langsung tak nak makan & minum berhari-hari membuatkan mak semakin kurus dan kurus.

Sehingga kini...

Anak-anak emak sure masih tetap merindui masakan air tangan emak. ’Gulai Masam’ (Masak Tempoyak) inilah menu wajib keluarga kami. Pelbagai jenis gulai masam yang emak buat sebagai hidangan sejak dulu dan semunya menjadi kegemaran anak cucunya turun temurun.

Kini...

Emak dihari tuanya alhamdulillah masih ditemani suami tercint
a, dikelilingi oleh 9 orang anak, (7) orang menantu serta 18 orang cucu yang setia mengunjunginya walau bukan setiap minggu tetapi Insyaallah setiap sebulan pasti sekali kami pulang kepangkuannya.

Bercerita tentang pergorbanan emak, berbicara tentang kehebatan emak, mengira & menghitung jasa & kebaikan emak rasanya memang tidak termampu diungkapkan satu per satu, tidak dapat ditukar ganti dengan segunung emas sekalipun. Emak tetap hebat dihati kami.
Wahai insan yang bergelar anak, perhatikan dan fikirkanlah pengorbanan emak kita! Kenanggilah dia... sayangilah dia.. Pengorbanan emak terlalu besar untuk diabaikan!

Berdoalah kita kepada Allah agar emak kita sentiasa dirahmati Allah, dikasihani, diberi taufik dan hidayah dan mudah-mudahan emak dikurniakankan kesudahan yang baik, terlepas daripada siksa kubur kelak serta nikmat kesihatan yang berpanjangan selagi ada hayatnya.
Duhai emak..... Bukakanlah pintu redhamu, hingga Allah pun meredhai kami.

Wallahu a'lam bish showab.


SuaraHati: Ampuni dosaku duhai emak... redhailah anakmu ini


1 comment:

Anonymous said...

saya sayang emak sangat-sangat...
sayu terdengar suara yang mengejutkan aku dari lena subuh..
bangun supaya aku bersiap ke sekolah
menyiapkan sarapan sehingga akan dihantar ke muka pintu andai tak berkesempatan ke meja makan...
katanya jamahlah walau sesuap sebagai alas perut dari kekosongan...


achu