Salam Ukhwah

Tuesday, March 3, 2009

Sinergi Keluarga Bahagia

(dipetik dari blog saifulislam)
“Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah orang yang paling berbuat baik untuk keluargaku!” itu penegasan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Hadithnya diriwayatkan daripada Aisyah radhiyallaahu ‘anha, dikeluarkan oleh al-Tirmidhi.
Dalam segala kualiti yang boleh diukur pada jati diri seorang Muslim, manusia yang dianggap terbaik oleh seorang Nabi, utusan Allah, adalah manusia mukmin yang berlaku baik kepada keluarganya.

Berlaku baik, bukan pada memberikan segala yang keluarga itu MAHU, tetapi utamanya adalah menyediakan segala yang mereka PERLU. Keperluan dunia dan keperluan Akhirat, menjadi amanah besar yang terpikul di atas bahu seorang suami, isteri, ibu, bapa, dan seterusnya anak-anak.

Bukan mudah untuk mempertimbangkan apa yang baik untuk keluarga.
Jika secara tiba-tiba seorang lelaki berubah pandangan hidupnya, lalu memaksakan perubahan ke atas isteri dan anak-anak, ia mungkin sebuah kejutan yang disendakan sebagai buang tebiat oleh mereka. Sama ada ia ditolak mentah-mentah, atau berubah menjadi titik konfrontasi di antara dua pasukan yang terbentuk di dalam sebuah keluarga yang bercanggah nilai.
Sebagaimana sebuah keluarga dan nilai-nilainya terbentuk secara akumulatif, perlahan dan berjalan mengikut rentak masa, maka begitu jugalah perubahan dan penyesuaian semula yang ingin dilakukan, ia memerlukan kepada banyak mujahadah, untuk menyingkap sisi-sisi tersembunyi pada tabiat dan kelakuan setiap manusia yang berada di dalamnya.
Saya juga berusaha keras mempelajarinya.
Belajar dari al-Quran dan al-Sunnah.

Belajar juga dari mana-mana sahaja pihak yang berkongsi usaha yang sama. Adam Khoo dan Centre for Fathering Singapore, adalah di antara dua kursus yang saya manfaatkan, untuk meluaskan perspektif keibu bapaan. Semuanya bermula dengan sebuah kesedaran, bahawa usaha untuk menterjemahkan Islam kepada suatu cara hidup yang boleh difahami dan dihayati oleh generasi anak-anak hari ini yang hidup dalam kecelaruan, adalah suatu perjuangan yang amat payah dan mengundang resah.

Mungkin cara terbaik untuk saya belajar adalah dengan membuka ruang mengajar. Mengajar bukan dalam erti kata menjadi lebih bijak dan pandai daripada peserta, tetapi bertindak sebagai fasilitator yang mengatur diskusi untuk 100 keistimewaan daripada 100 pengalaman oleh 100 peserta, dikongsi bersama.


"Kita selalu mahukan hari yang CERAH, namun ALLAH lebih mengetahui hakikat hujan perlu diturunkan"