Salam Ukhwah

Monday, March 23, 2009

Baja Mawaddah & Rahmah...

1 artikel yang saya baca yang saya sangat berminat untuk dikongsi bersama semoga dapat dijadikan sebagai nilai tambah buat diri saya terlebih dahulu dan juga sahabat-sahabat. Tulisan Ummu Abbas

**********************************************************************************
Bila saya ditanya mengenai tip cinta selepas lama berkahwin, saya terpaksa berfikir panjang dan muhasabah diri sendiri. Saya bukanlah pakar rumahtangga seperti Dr Fadzilah Khamsah atau Dato’ Siti Nurbahyah yang terkenal itu.

Usia perkahwinan saya yang baru masuk 11 tahun ini masih mentah saya rasakan dibandingkan dengan dua orang tokoh di atas. Saya sendiri sedang belajar dan berusaha menambah kasih sayang dengan suami. Saya syorkan para pembaca belajar dari mereka atau dari ibubapa sendiri. Walau apapun, untuk tidak menghampakan pertanyaan, saya kongsi juga secebis ilmu yang tidak seberapa. Pada mulanya saya letak tajuk entri ini, “Tip Menyubur Cinta Dalam Perkahwinan” namun saya dapati tajuk di atas lebih ringkas dan tepat.
Perkahwinan mengandungi erti saling memberi dan menerima. Justeru, suami isteri seharusnya berusaha memperbaiki hubungan dan menambah resepi cinta antara satu sama lain. Jika hanya sebelah pihak yang berusaha, ia tidak akan berkesan. Namun sesiapa yang memulakan dahulu, dialah yang terbaik di sisi Allah, insya Allah. Oleh kerana yang bertanya adalah pihak suami, maka saya fokuskan pada mereka dulu. Terima kasih kepada yang bertanya. Moga keprihatinan saudara mendapat limpahan kasih sayang Allah. Apa-apa yang saya nyatakan di bawah ini merupakan hasil saya belajar dari kesilapan saya sendiri, juga melalui pembacaan untuk mengenal diri sendiri sebagai wanita.

Baja 1 dan Baja 2 merupakan petua umum untuk suami atau isteri. Baja 3 dan seterusnya adalah khusus untuk para suami.


Baja 1
Recharge IMAN (Perbaharui IMAN)


Saudara percaya kepada Allah sebagai Ilah (Tuhan) yang menciptakan diri saudara dan menjodohkan saudara dengan isteri saudara? Allah itulah yang menjanjikan limpahan Mawaddah dan Rahmah bagi pasangan suami isteri. Allah berkata melalui surah Ar Rum, ayat 21, Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. Ayat ini banyak dicetak di kad jemputan kahwin sekarang. Saya berharap mereka yang memilih ayat ini dapat memahami apa yang tersurat dan tersirat dalam ayat tersebut.
Lampu dapat dinyalakan kerana adanya arus elektrik. Arus elektrik itu datangnya dari kabel yang dibekalkan menurut kawasan. Kabel itu pula mendapat bekalan dari stesen jana kuasa hidroelektrik. Jika mana-mana wayar atau kabel yang berkesinambungan dengan stesen jana kuasa tadi terputus atau rosak, maka bekalan elektrik akan terputus.
Mawaddah itu datangnya dari Allah yang bersifat al-Wadud (Yang Maha Menyintai). Bila kita sentiasa ‘online’ dengan Allah, maka bekalan Mawaddah itu akan berterusan menyinari pasangan suami isteri. Bila cahaya Mawaddah semakin malap, apa yang kita perlu cek ialah wayar atau kabel yang menghubungkan kita dengan Allah. Hanya satu kabel yang wujud dalam diri kita, itulah hati.

Lampu elektrik akan bercahaya tatkala menerima arus elektrik. Begitulah hati yang akan bersinar dengan kasih sayang apabila menerima kasih sayang Allah. Kasih sayang Allah hanya dapat diperolehi dengan menunaikan yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Baja 1 ini adalah prinsip umum dalam konteks komunikasi dengan manusia. Hubungan suami isteri adalah sebahagian daripadanya. Allah hanya dapat dirasa oleh hati, bukan dengan akal. Oleh sebab itu Allah menyebut bahawa dia tidak melihat rupa dan harta kita tetapi Dia melihat hati-hati kita. Allah juga tidak menyebut bahawa Dia melihat akal kita. Sebaliknya akal banyak disebut agar manusia menggunakannya untuk berfikir. Hasil fikiran itu adalah untuk ‘recharge’ IMAN dan TAQWA di hati.


Baja 2.
Mengambil Vitamin Z.


Vitamin Z ialah Zikrullah. Apa beza dengan Baja 1 di atas? Baja 1 adalah tahap kita perlu bertafakkur dan mengoreksi diri di manakah tahap hubungan kita dengan Allah selama ini. Apakah solat kita khusyuk? Apakah puasa kita ok? Apakah kita yakin bahawa Allah al-Wadudlah berkuasa memberi atau menarik balik Mawaddah dan Rahmah di hati suami atau isteri? Setelah memastikannya, kita tidak perlu berlengah-lengah lagi untuk mengambil Vitamin Z. Vitamin Z penting bagi memastikan kita sentiasa ‘online’ dengan Allah.
IMAN itu boleh bertambah dan berkurang berdasarkan amalan seseorang.
Amalan pertama yang mesti dijaga ialah solat dan kualitinya. Solat merupakan kaedah komunikasi WAJIB dengan Allah.
Solat sudah beres? Amalkan zikir tetap seperti bacaan al-Mathurat sama ada Mathurat kecil atau besar. Juga wirid-wirid lain bersumberkan amalan Rasulullah s.a.w.
Salah seorang anak Tuan Guru Nik Abdul Aziz (Tok Guru) yang berusrah bersama saya berkongsi petua Tok Guru dengan kami. Katanya, ayah berpesan agar amalkan mana-mana bacaan dari al-Mathurat walau sedikit. Bacaan itu dijadikan rutin harian.
Saya ada pengalaman meninggalkan bacaan al-Mathurat selepas kahwin. Sedangkan saya mengamalkannya sejak remaja. Saya tidak sedar kekurangan itu sehinggalah seorang sahabat menegur saya. Beberapa tahun yang lalu, suatu hari, saya bertemu dengan sahabat itu. Dia lebih muda dari saya namun menempuh alam perkahwinan lebih awal. Biasalah dalam usia perkahwinan yang masih baru, kita belum benar-benar mengenali pasangan. Jadi saya minta nasihat dia. Daripada cerita saya, dia ‘detect’ saya berkenaan al-Mathurat. Saya tidak sentuh pun hal al-Mathurat tapi itulah nasihatnya pada saya. Seolah-olah dia dapat membaca bahawa saya dalam keadaan meninggalkan amalan tersebut. Justeru itulah saya merasa berat dengan apa yang berlaku di sekeliling walaupun mungkin pada hal-hal kecil sahaja.
Masalah yang kita rasa masalah belum tentu ia hakikat kepada masalah yang sedang dihadapi. Masalah sebenar saya ialah saya lalai dari Allah, maka Allah menguji saya agar saya kembali kepadaNya. Pada asasnya, suami saya seorang yang baik, lemah lembut, bertanggungjawab dan penuh kasih sayang. Keadaan itu menyebabkan saya terleka tanpa disedari. Manusia itu diciptakan lemah dan mudah hanyut dalam nikmat. Saya masih menjaga ibadah yang wajib namun amalan sunat yang biasa dilakukan, sedikit demi sedikit saya mengabaikannya. Tiada yang lebih baik kecuali Allah. Alhamdulillah, sejak hari itu saya mengamalkan semula al-Mathurat. Saya perasan suami juga istiqamah membaca al-Mathurat. Hubungan kami terasa bertambah baik. Saya juga memohon kepada Allah agar dijadikan saya dari kalangan hambaNya yang bersyukur ketika senang dan sabar ketika susah.
Kembalikan hati kita kepada Allah, Allah kembalikan hati-hati yang ikhlas kepada kita.

Baja 3
Memahami psikologi wanita yang suka berkomunikasi.


Wanita dikenali dengan sikap suka bercakap dan berbual. Mereka suka melahirkan perasaan mereka secara lisan. Jadi lakukan perkara yang sama terhadap isteri. Ucapkanlah apa yang ada di hati seperti sayang, rindu dan lain-lain pada isteri. Sebenarnya Islam memang menunjuk cara demikian. Bila kita tidak menzahirkan apa yang ada di hati, isteri tidak akan tahu dan yakin bahawa suaminya menyayangi dirinya. Ini menyebabkan isteri terasa jauh hati, sepi dan rindu meskipun suaminya menunaikan tanggungjawab dengan baik. Persepsi wanita terhadap kasih sayang ialah yang sering diucapkan. Ia adalah fitrah kejadian wanita dari sudut emosi yang Allah ciptakan. Justeru suami perlu memahami keadaan ini dan berusaha mengisi emosi isteri.
Pada pandangan saya, ia adalah sebahagian nafkah batin yang perlu dilunasi. Nafkah batin bukan sekadar ‘hal atas katil’ yang bersifat fizikal tetapi juga ‘hal komunikasi intim’ yang mampu menerbit rasa bahagia. (Seksa tau perasaan isteri bila bertahun-tahun kahwin, sepatah ucapan sayang atau rindu tidak didengari dari suami. Itulah sebabnya suami-suami yang sudah memberi nafkah zahir dan nafkah ‘atas katil’ bingung melihat isteri masih murung. Tiada seri diwajah. Isteri pula malu mahu minta ucapan-ucapan demikian dari suami. Dia mahu suami belajar dan memahami sendiri apa yang dia mahukan. Paling penting ia lahir dari hati suami yang tulus. Bukannya dibuat-buat sekadar mengambil hati.) Menurut pemerhatian saya, ramai suami yang berjaya berpoligami kerana pandai bermain dengan kata-kata meskipun mereka kurang bertanggungjawab dari sudut nafkah dan sebagainya. Wanita mudah percaya dengan apa yang dilihat dan didengar sebab itu kesaksian mereka agak kurang sikit dibandingkan dengan lelaki. (Tajuk tesis Sarjana saya ialah Konsep Kesaksian Wanita Menurut Undang-undang Keterangan Islam) Kelebihan yang Allah kurniakan pada sebahagian lelaki itu telah disalahgunakan. Merekapandai menawan emosi (baca: hati) wanita agar berkahwin dengannya namun tanggungjawab dipandang enteng. Sebahagian ‘buaya’ pula mengeksploitasi wanita dengan kata-kata manisnya. Malangnya nasib ummah hari ini bila lelaki mempergunakan wanita, bukannya melindungi mereka. Yang haram dipujuk rayu, yang halal (isteri) di jerkah herdik. Apa yang diterangkan di atas merupakan manifestasi komunikasi yang begitu penting dalam konteks menyubur mawaddah dengan isteri.


"Kita selalu mahukan hari yang CERAH, namun ALLAH lebih mengetahui hakikat hujan perlu diturunkan"