Salam Ukhwah

Sunday, October 19, 2008

Bermulalah Cinta Hakiki

Rasa tertarik dan menarik untuk berkongsi artikel ini bersama rakan-rakan yang lain. Sebagai pesanan buat diri sendiri terlebih dahulu juga berkongsi dgn kengkawan semua.

Posted by Ustaz Muhammad Fauzi

Seorang senior sewaktu saya belajar di Mesir pernah menceritakan kepada saya pandangannya terhadap pasangan baru. Katanya, dia akan tersenyum setiap kali melihat gelagat pasangan baru. Saya pun senyum mendengar kata-katanya, walau pun saya sebenarnya tidak faham kerana saya belum berkahwin lagi ketika itu. Hari ini setelah 11 tahun mendirikan rumahtangga, saya rasa saya faham maksudnya kerana saya juga selalu tersenyum melihat gelagat atau mendengar cerita-cerita tentang pasangan baru.
Pasangan baru adalah pasangan yang hidup dengan kegembiraan penuh. Memang begitulah sepatutnya. Dan selayaknya saya tersenyum mendengar cerita seorang rakan yang ‘terlajak ceria’ sepanjang hari perkahwinannya. Sebelum akad dia senyum, semasa akad dia senyum, selepas akad dia senyum, jumpa sesiapa sahaja dia senyum. Ketika tidak ada sesiapa menyapanya pun dia senyum.
Pasangan baru tidak sanggup berpisah walau seminit. Jumpa rakan dan tetamu di majlis perkahwinan, tangan kanan salam tetamu dan tangan kiri terus memegang tangan isteri. Lepaskanlah sekejap, biarlah dia jumpa rakan dan tetamu wanita. Suami kata: “Eh bukan saya. Isteri saya yang tak nak lepaskan tangan saya ni.” Iyalah …. sama-samalah tu.
Pasangan baru ketika diajak rakan-rakan untuk makan di kedai, dia akan membalas: “Temankan minum sekejap boleh kot.” Tak lapar ke? Lapar tu, tapi memang sepatutnya dia buat begitu sebab pasangannya pun sedang menahan air liur melihat rakan-rakan wanitanya menjamu selera. Kedua-duanya tidak berjanji untuk makan bersama, tapi masing-masing tidak sampai hati untuk makan takut pasangannya lapar keseorangan.
Begitulah gelagat pasangan baru. Kehidupan baru yang perlu diterokai. Awalnya manis. Hujungnya mereka yang akan tentukan samada terus manis atau akan berubah rasanya.
Pasangan baru akan melalui satu fasa; fasa ini akan mendatangkan perasaan yang ganjil bagi mereka. Ganjil kerana mereka akan terbuai-buai di satu alam lain yang tidak pernah mereka lalui. Alam ini terpisah dari alam yang mengelilingi mereka. Mungkin sebab itulah pasangan yang baru mendirikan rumahtangga ada ‘bulan madu’. Saya tidak faham sangat tentang ‘bulan madu’ kerana saya bernikah ketika isteri sedang menghadapi peperiksaan tahun akhir. Dua minggu selepas nikah pula saya ke UK dan Ireland memenuhi jemputan untuk memberi pengisian selama hampir sebulan. Beberapa hari selepas pulang ke rumah sesudah itu, terpaksa ke perkhemahan musim panas di Ra’sul Barr, Sinai selama lima hari. Selepas itu, isteri pula masuk perkhemahan. Tambah lagi lima hari. Itu bukan ‘bulan madu’ rasanya. ‘Bulan madu’ ni mungkin macam seorang kenalan saya yang berkahwin dan kemudian bercuti di Summit Hotel sebelum sambung bercuti di Gold Coast, Australia. Tetapi apa pun bentuknya; bersama di hotel dan pantai atau jauh dipisahkan oleh lautan … semua pasangan baru rasanya akan merasai perasaan ini.
Alangkah baiknya jika ianya berterusan. Tetapi tabiatnya bukan begitu. Tidak lama, ia akhirnya akan kembali seperti biasa dan dari situ bermulalah cabaran yang hanya orang-orang yang ikhlas niat di dalam mendirikan rumahtangga akan mampu menghadapinya.
Saya kongsikan di sini nasihat yang pernah saya berikan kepada beberapa pasangan yang baru mendirikan rumahtangga (di antaranya yang berbulan madu di Summit Hotel tu).
1. Bukan mudah untuk seorang manusia duduk sepanjang hayatnya bersama seorang lagi manusia lain. Ke sana sini bersama. Makan bersama dan berkongsi semua perkara. Pasangan di Barat diikat dengan sebab-sebab material (seks, kebendaan, tumpang glamour dan sebagainya). Dengan sebab itulah maka mereka mudah bercerai. Tetapi bagi orang Islam, kita diikat dengan ikatan akidah dan matlamat ubudiah kepada Allah. Alangkah kuatnya ikatan ini bagi yang menghayatinya. Oleh itu bermujahadahlah agar ikatan ini kekal di dalam ikatan tersebut.
2. Isteri mempunyai kerenahnya dan begitulah juga suami. Belajarlah untuk saling memahami dan menghormati pasangan. Berusaha juga untuk saling bekerjasama dalam semua perkara. Dr Yusof Qardhawi mempunyai pandangan yang lain berkaitan pengurusan rumah oleh wanita di mana beliau berpendapat bahawa suami juga mempunyai tanggungjawab meringankan beban isteri di situ kerana wanita juga hari ini memainkan peranan mencari rezeki membantu beban suami.
3. Seorang muslim soleh bertemu dengan seorang muslimah solehah, hasil yang sentiasa diharapkan adalah bait muslim dengan segala ertinya. Tetapi kadang-kadang ianya tidak jadi begitu kerana kaedah yang betul adalah; bait muslim ini perlu dibina seumpama mereka membina keperibadian mereka ketika mereka bujang sebelum ini. Anggaplah bait muslim tersebut seumpama bayi yang baru lahir. Bagaimana kedua-dua suami isteri tersebut membentuknya, itulah hasilnya. Hidupkan rumahtangga dengan al-Quran dan ibadah. Jauhi hiburan yang melalaikan. Warnai dengan kasih sayang dan kesetiaan.
BarakaLlahu lakuma wa baraka alaikum wa jama’a bainakuma fi khair

"Kita selalu mahukan hari yang CERAH, namun ALLAH lebih mengetahui hakikat hujan perlu diturunkan"