Sebaris ayat pun sudah cukup membiakkan tekanan
Bagai bara disimbah minyak
Api keresahan tiba-tiba bersemarak
Memberontak..
Marak….
Biar bersungguh cuba dikawal
Gagal!
Saat ini serasa malas mahu melayan apa pun tohmahan, salah faham, bahkan fitnah
yang dilemparkan.
Rimas dibelenggu rantaian kasih yang entah ada atau tiada
Lemas dengan aroma pura-pura yang entah sejak bila timbulnya namun kini semakin
ketara.
Aku sebenarnya sudah jemu
Dari dulu.. lagi-lagi itu!
Memandang tegak ke hadapan,
Masih kelam itu juga yang kelihatan suram
Sesuram hati yang walang mengharung malam
Letih menunggu siang!
Menjeling cermin pandang belakang
Yang ku lihat hanya ribut
Alam masih berkabut
Segalanya masih berserabut
Lalu bagaimana aku mahu punya keyakinan untuk terus merentasi perjalanan?
Aduhai
Kalau bukan kerana Tuhan
Aku sudah lama berlepas tangan
Kalau bukan kerana sedar bahawa inilah yang dipanggil ujian
Aku sudah lama keluar dewan
Persoalan demi persoalan tiada jawapan
Lalu untuk apa ku teruskan?
Namun
Dalam kebanjiran resah yang kadang redha kadang tak redha
Aku sebenarnya masih ingin bertabah
Berkuat menadah satu demi satu ketentuan Allah
Sekuat mana ribut menerjah
Biarlah...
Namanya pun juga hidup
Katanya senarai ujian sudah termaktub
Lulus atau gagalnya saja yang masih rahsia
Barangkali terserah pada secepat mana aku berjaya mengeringkan air mata
Barangkali terpulang sepintar apa aku berhasil menekan malang menjadi tenang
Barangkali begitu.
Lalu akhirnya ini juga putusku
Ku tepuk-tepuk dada sendiri
Ku pujuk-pujuk lagi
Sabarlah duhai hati
Namanya pun kehidupan.
Kata Tuhan
Kehidupan bersarang dengan ujian
Dan ini cuma ujian.