Salam Ukhwah

Monday, September 21, 2015

Redho vs Sabar

Hati yang redho vs hati yang sabar 

Dua situasi ini sangat berbeza.

Hati yang sabar adalah hati yang menekan rasa, menelan derita, hanya diri sendiri yang tahu amukan badai di dalam jiwa kerana keadaan dirinya tidak nampak di luaran.

Diri mampu tersenyum riang bersama keluarga, rakan dan taulan tapi jiwa merana hanya bercerita dengan Allah, mengadu dan bermunajat.
Lagi dan lagi,….

Manakala hati yang redho, derita dan sengsara sudah tidak dirasai,…

Dia tenang luar dan dalam.

Sangat tinggi penyerahan dengan Allah swt,..

Hati sentiasa berkata2 dengan Tuhannya,.

Wahai Allah, aku ini hanya hambaMu, Engkaulah Tuhanku,.. Buatlah, lakukanlah sesuka hatiMu terhadap diriku, aku redho. Walau apapun qadha dan qadarMu yang telah Kau tetapkan untukku, ketahuilah wahai Allah, itulah yang terbaik untukku,   kerana ianya datang dariMU…   takkan mungkin Kau dengar keluhan dari ku, baik dari mulutku, apatah lagi dari hatiku, kerana wahai Allah, Engkaulah kekasihku, Engkaulah jiwa ragaku, mana mungkin akan timbul ketidakpuasan hati kerana hatiku sudah mabuk dengan kasih sayangMu, lantaran itu, buatlah wahai Allah, apa jua pun untukku,…

Hati yang redho, akan mengalir dalam jiwa raganya ketenangan yang shahdu,.. yang nampak hanya Allah. Allah dan ALLAH.

walau kekadang jatuh dalam struggle, tetapi cepat nampak ini dari kekasihku, ALLAH swt, lalu hati terus tenang , damai dan tenteram,..

Dengan sifat sabar dan penuh pengharapan kepada Allah, insyaallah segala usaha kita akan mencapai kejayaan.

Allahu akbar


SuaraHATI : Alirkanlah rasa sabar ke dalam hati hamba-MU ini untuk aku berdepan dengan dalam segala hal.




Sunday, September 20, 2015

Susahnya Menjaga Hati Ini

 

“Susahnya nak menjaga hati ni…!!”

Alhamdulillah Allah bagi kita hati dari situ kita ada perasaan.
Dan mujur lah Allah ciptakan manusia tu dengan  satu hatinya. Sebab apa dengan satu hati ni pun kita dah tak terjaga, jadi macam mana kalau kita punya banyak hati.

– Nak jaga ia dari bersangka-sangka dengan orang, nak jaga dari terluka.

Dengan satu hati ni pun dah banyak kali terluka, banyak sangat dah bersangka sangka  dengan orang. Satu hati yang dikurniakan kalau kita pelihara dia elok elok Allah indahnya.

Tapi Allah tu baik. Maha baik.

Walaupun hati ini banyak sangat buat dosa, Dia tetap hadirkan sekelumit rasa getaran itu tanda hati masih hidup, masih ada iman.

Walaupun pun hamba Allah ni berdosa sekalipun bila Allah bagi getaran pada hatinya, Allah bagi ujian buat hambaNya, Nak suruhnya kita ni kembali padaNya, kembali ingat padaNya.

Saya tahu ramai yang pernah kecewa dengan dunia.

Dah kata dunia ini macam makanan yang manis, tapi bila kita ambil dalam kuantiti yang banyak ia bahaya pada kesihatan kita tapi itulah yang sedap. Itulah yang kita nak kan?

Dalam artikel ni saya nak bawakan satu bahagian saja pasal hati.

Something yang dekat dengan anak remaja, belia kita. Macam Allah uji hati anak remaja dengan satu term yang sangat indah, Cinta.
Berapa ramai yang kecewa sebab cinta, berapa ramai yang terpedaya kerana cinta?

Sebenarnya indah hikmah yang Allah selitkan dalam proses membawa hati itu kepadaNya.

Ya, mungkin jalan ini ada jalan yang kamu perlu lalui dalam proses menjadi seorang hamba yang lebih baik.

Saya terbaca satu post di instagram:

Aku bukan tak sabar, hanya tak ingin menanti.
Kerana berani memutuskan adalah juga kesabaran. Kerana terkadang penantian membuka pintu-pintu syaitan.
Cinta tak pernah meminta untuk menanti. Ia mempersilakan. Atau mengambil kesempatan.
Yang pertama adalah pengorbanan.
Yang kedua adalah keberanian.
-Salim A. Fillah

Kadang–kadang bukan kita kecewa  dengan manusia, kita yang mengecewakan hati kita sendiri.

Ya kita memilih untuk membiarkan hati itu patah dengan tindakan kita.
Ingatlah takkan bersatu dua cinta, cinta pada Allah dalam masa yang sama cinta pada maksiat.
Kemudian kita yang harus memilih, dan ternyata hati memilih untuk terluka.

Luka yang terjadi itulah hikmah. 

Hikmah yang diri sendiri akan nampak sepanjang proses penyembuhan. Hikmah yang diri akan nampak saat hati kita betul betul redha.
Ketahuilah ia bukan satu proses yang mudah kerana perlunya mujahadah. Tapi percayalah, segalanya mudah apa bila Allah memudahkannya.
Satu yang perlu tahu dalam proses penyerahan hati, penyembuhan hati kepada Allah itu ujian-ujian Allah selalu mengiringi.
Sedarlah bahawa didikan sabar sedang dipraktiklan oleh Allah kepada kamu.
Sahabat saya berkata

“Allah hantar kamu untuk bantu yang lain”

Itu takdir Allah, kita yang pernah sakit dulu, akan bantu orang lain hasil dari rasa sakit yang pernah kita lalui.
Saya pandang sahabat saya, mendengar cerita, harapan, tekad nya bawa saya jauh ke ketika saya berada ditempat dia sekarang, saya selalu cakap, memang tak mudah hanya tekad dan doa saja. Jangan pernah takut.

Hati yang sedang sakit perlu dirawat segara, moga tidak melarat.

“Sakit hati” ni bukan dengki tapi sakit hati ini ialah dimana,  kita mula lemah dalam langkah menuju tuhan.
Rawatlah dengan bicara denganNya, rawatlah dengan membaca kalamNya.
Mari hayati kata kata Saidatina Hajar, ibunda Nabi Ismail a.s. Ringkas dan padat yang mampu memotivasikan kita serta memberi semangat baru dalam jiwa jiwa kita.

“Allah tidak akan mensia-siakan kita”

– Tinta yang menulis ini masih berjuang dengan ujian Allah. Mohon doa nya.

SuaraHATI : Bukan mudah untuk menjaga hati dari keadaan sekeliling
 

Thursday, September 3, 2015

Allah Ya Aliim, Allah Maha Mengetahui

Allah.... Allah... Allah....
Allah Ya Aliim, Allah Maha Mengetahui
Allah serba mengetahui segala sesuatu, Allah Mengetahui yang telah diciptakan-Nya. Allah mengetahui tiap-tiap perbuatan dan ucapan manusia. Allah mengetahui apa yang terjadi dan apa-apa yang bakal terjadi, Allah maha bijaksana dan pengaturan-Nya. Semua yang berlaku segalanya dalam ilmu Allah. Sama ada kita merahsiakan atau menyatakannya, sungguh!! Allah swt Maha Mengetahui segala isi hati kita ni.

Ujian... 
Rahsia disebalik ujian ini juga Allah lah Yang Maha Tahu
Ternyata ujian setiap orang itu berbeza-beza dan mengikut kadar kemampuannya, ada yang kita rasa berat dan juga yang merasa ringan. Kadang-kadang jauh disudut hati kita terfikir "kenapa ek"... jawapannya boleh jadi Allah sedang berbicara dengan kita, Allah sedang berbisik-bisik dengan kita dan Allah sedang menjemput kita untuk lebih intim bersamanya. Kita selalu sebut "Ujian sebagai tanda kasih sayang-Nya" namun sejauh mana hati kita terima dan redha tatkala hati kita berkecamuk dalam mendepani ujian demi ujian itu. Segalanya tergantung kepada bagaimana iman kita.

Aku... engkau.. dia dan mereka... Allah duga berbeza-beza. Tetapi ingatlah dugaan itu bukanlah untuk melemahkan malah sebenarnya ia menguatkan dan meneguhkan jiwa kita sebagai hamba. Kita tidak tahu apa yang terbaik untuk diri kita sendiri, Kita hanya penerima, kita bukan pemberi. Yang memberi adalah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikan-Nya untuk kita adalah yang baik belaka. Namun seringkali akal kita tidak mampu mengetahui rahsia disebalik yang pahit ini, disebalik yang pedih dan sakit ini. Kita hanya nak yang manis-manis saja. Apatah lagi nafsu kita, ianya akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya. Rakusnya kita kan?

Kita perlu yakin bahawa...
Allah kenal benar dengan kita, kita ni makhluk yang DIA ciptakan. DIA sangat tahu yang kita ni lemah dan sangat sentiasa perlukan bantuan, cuma kadang-kadang kita sengaja belagak sombong seolah kita pandai-pandai memetakan hidup kita sendiri menggunakan kompas yang kita ciptakan sendiri. Ternyata kita makhluk yang kurang sabar dan kadang-kadang kita gelojoh untuk buat konkulasi atau apa-apa keputusan sekalipun. Kita selalu lupa untuk merujuk terlebih dahulu sebelum buat keputusan. Sebenarnya walau sekecil- kecil keputusan kita perlu merujuk kepada-NYA.

Kadang-kadang kita hilang fokus dek kerana hati kita berkecamuk, hati kita yang gundah gulana. Wahai diri hanya ada satu cara, mintalah dengan ALLAH. Tak mungkin dan sangat tak mungkin orang lain boleh bantu diri kita melainkan semuanya atas Izin-Nya belaka. Hati kita, fikiran kita, jantung kita dan semuanya milik Allah belaka. Allah Maha Tahu sedangkan kita hanya mahu tahu.

Cuma perlu bersabar, berdoa dan bersyukur. Kerana aturan Allah itu tidak pernah cacat dan tersilap langkah. 

Cukuplah Allah sebagai pentadbir urusan (Al-Ahzab:3)

SuaraHATI: Bukanlah kerana aku sendiri kuat, melainkan semua kerana Allah yang bagi kuat.