Salam Ukhwah

Sunday, October 20, 2013

Rezeki Yang Tetap Dinanti









Rezeki yang Dinanti.. 

“Subhanallah. Comelnya bayi awak.”

 “Rasa mahu cubit-cubit pipi mungil itu”

 “Seronoknya punya anak kecil”.

Memandang wajah bayi menghilangkan resah dan gundah di hati. Demikian Allah mengatur, setiap kejadian punya keistimewaan tersendiri. Anak yang diibaratkan kain putih, tergalas pada bahu ibu ayah tenggungjawab mendidik dan memberikan yang terbaik. Namun tidak semua punya... Rezeki berbentuk anak bukan milik semua pasangan yang berkahwin. Allah memilih sebahagian hamba memiliki ziriat, namun ada yang Allah uji dengan tidak dikurniakan walau seorang anak, meski sudah berpuluh-puluh tahun bernikah. Siapakah yang dapat mengatasi keputusan Allah. 

Benarlah hanya DIA yang Maha Mengetahui yang terbaik buat setiap hamba. Diusaha bermacam-macam kaedah dan cara demi memperoleh anak penerus warisan. Makin meningkat usia, terasa makin sunyi tanpa suara kanak-kanak menemani, anak untuk disayangi, gadis dan teruna sendiri untuk dididik dan dibentuk menjadi Muslim disayangi Ilahi. Terasa untungnya mereka yang punya zuriat. Astagfirullah! Bukankan sudah diagihkan rezeki buat setiap hamba-NYA. Jika ini yang terjadi, yakinlah yang Allah menyediakan rezeki dalam bentuk lain, dan bertahmidlah kerana hanya syukur melahirkan keredaan.


Doa dan berdoalah dan sentiasa melantunkan doa sebab diuji seseorang supaya makin dekat hamba itu dengan Allah. Mungkin Allah merindukan hamba-NYA untuk sentiasa berada dekat dan mengadu pada-NYA. Bukankah insan yang diuji itu kebiasaannya akan sentiasa mencari tempat meluahkan. Allah lah tempat terbaik mencurahkan segala rasa. Andainya tidak dikurniakan zuriat itulah pilihan terbaik seseorang hamba, itulah yang terjadi. Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba, hanya kita yang jarang melihat perkara yang terjadi dengan hati nurani. Lalu dipersalah takdir ilahi, mengapa orang lain ada, namun kita tidak? Jangan sekali-kali begitu! Cuba dan cubalah untuk ikhlas menerima kententuan Allah. Bukan bermakna tidak berusaha, namun andainya perakhirannya tetap tidak dikurniakan zuriat, yakinlah ketentuan Allah ini yang terbaik!! Ada Anak, 

Tetapi... 

Pedih hati melihat akhbar dan berita saban hari memaparkan rencana berita anak-anak yang didera tanpa rasa belas kasihan. Apa dosa mereka? Jangan disebabkan tekanan peribadi, masalah sendiri, mereka menjadi mangsa. Sejak dahulu, ramai sekali berita bayi tidak berdosa dicampk atau ditinggalkan sesuka hati. Di manakah hilangnya peribadi dan perasaan belas dihati? Walau apa sekalipun peristiwa yang terjadi, bukankah anak itu yang dikandung dan bersama-sama diri selama sembilan bulan? Tergamaknya seseorang bernama manusia yang memiliki akal waras memperlakukan anak begitu, sedangkan haiwan sangat menjaga dan melindungi anak. Jika sekalipun si ibu telah melakukan dosa tidak terpalit kesannya pada anak, lantas layanlah anak itu selayaknya seorang manusia, bukannya diperlakukan yang tidak selayaknya sebagai seorang manusoa yang baru melihat dunia. Kasihan anak kecil itu! 

Jika terasa penat, 

Kenangkan insan lain yang Allah uji dengan tidak memiliki anak. Sedang kita Allah berikan zuriat yang menceriakan hari-hari. Asuhan anak yang bermula sejak dalam kandungan tidak pernah terhenti. Tunjukanlah contoh dan menjadi suri teladan buat mereka. Merekalah lebih percaya segala yang dilihat daripada kata-kata. Tersalah ajar, tersilap tunjuk, bengkoklah mereka. Sesungguhnya anak tidak boleh dinilai harganya dengan wang atau emas. Jagalah “rezeki” pemberian Allah ini sebaik-baiknya. Jangan sampai Allah menarik semula pemberian-NYA, tinggal kita terduduk terkenangkan anak yang sudah Allah jemput semula menemui-NYA. Anak-anak nak baik itulah yang menjadi rantaian amal saat diri tidak mampu beramal lagi..

Solusi isu #60, ms39

SuaraHATI :- Ya Allah.. Aku tetap Yakin denan RAHMAT-MU Ya Allah...