Salam Ukhwah

Wednesday, April 4, 2012

Allah Sebagai Penolong

31hb Mac 2012 - Sabtu.

Saya dan suami dalam perjalanan balik ke kampung suami di Kampung Durian Hijau, untuk hadir ke majlis kenduri kahwin salah seorang rakan kami di kampung. Kami bertolak dari Kuantan dah lewat jugak sekitar jam 11.00 pagi kerana  terlebih dulu  perlu menghadiri Majlis Dialog bersama PBT di kawasan perumahan kami.


Biasalah perjalan ke kampung kami lebih selesa menggunakan highway kerana lebih menjimatkan masa lebih-lebih lagi situasi semasa kami pada waktu itu pun memang nak mengejar masa.

Apa yang nak dikongsikan disini adalah, betapa saya menginsafi diri saya sendiri berkaitan Pertolongan Allah, tentang rezeki dan tak kurang juga tentang persediaan dan persiapan di pihak diri kita sendiri dalam merancang sesuatu yang nak dilakukan.

Pertama kali sebenarnya saya mengalami pengalaman insiden tayar pancit ketika dalam perjalanan. Insiden yang berlaku berhampiran susur Belimbing selepas RNR Gambang arah ke KL.

Tiba-tiba suami memberhentikan kereta di lorong kecemasan.. Saya dah mula cemas dan suspen. Setelah diperiksa didapati tayar kereta pancit di sebelah kanan belakang. Saya dah mula risau tapi sikap 'cool' suami membuatkan saya kena cover cemas dan risau saya tu supaya cemas saya tidak menganggu ketenteraman suami. Alhamdullah syukur sangat-sangat sebabnya pada masa tuh walaupun jam di tangan menunjukan jam 12.00 tgh tapi cuaca sangat redup, jadinya tidaklah kami berdua bejemuran dibawah terik matahari.

Tanpa membuang masa suami terus memulakan kerja menukar tayar. Dalam pada tercari-cari peralatan untuk menukar, barulah perasan bahawa alatan yang paling penting iaitu 'Pembuka Skru' tidak ada dalam simpanan.. Ya Allah mengucap panjang saya. Saya dah mula bertambah panik beganda-ganda. Tapi suami saya tetap nampak tenang.  Dalam keadaan suami tercari-cari jalan penyelesaiannya.. dari jauh saya nampak Lori Abang Peronda MTD bagi lampu signal kanan tanda mereka nak berhenti kepada kami. Alhamdulillah syukur lagi kerana Allah kirimkan mereka datang untuk membantu menyelesaikan masalah kami. Nampak kesungguhan dan kesediaan mereka dalam memberi perkhidmatan kepada kami sebagai pelangan 'Highway MTD'.

Ya Allah Ya Rohman.. disaat hamba-MU sedang cemas dan buntu, Engkau kirimkan mereka sebagai membantu kami, disaat hamba-MU tidak mampu  dan lemah Engkau rezkikan kami dengan menghantar mereka datang kepada kami untuk menolong kami. Engkaulah yang Maha Pemurah Ya Tuhan, Nikmat yang mana lagi yang kami dustakan.

Saya mengambil pelajaran dalam insiden yang berlaku ini. Pertamanya  bahawa Allah Maha Pemurah dan Maha Besar, segalanya menjadi mudah sekiranya DIA berkeinginan kemudahan itu kepada hamba-NYA. Kedua, kita perlu bersiap sedia dari segi kelengkapan yang penting  bagi kita menghadapi setiap kemungkinan yang bakal tiba. Terima Kasih Allah..