Salam Ukhwah

Sunday, December 27, 2009

Perjalanan Terhenti di Lebuhraya Ini..


Jumaat-25/12/2009 bersamaan 8 Muharam 1431 Hijrah
..
suatu subuh yang sunyi aku dikejutkan oleh panggilan telefon dari Ayah dikampung memberitahu bawaha 'Uwan telah tiada'. Innalillahwainnailaihi rojiun... hati terus bedebar dan secara tak sedar manik-manik jernih gugur. Ayah meminta agar aku menelefon dan memberitahu semua adik beradik yang lain. Terasa baru semalam bersua dan berbual dengan Uwan, masih terdengar-dengar suaranya.. terbayang-bayang wajahnya namun apa kan daya masanya telah tiba.. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali… Alfatihah dan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang -orang yang beriman…Amin.

Kenangan - Ketika kali terakhir mengunjungi arwah pada 30/10/2009

Pada hari itu sebenarnya aku berada di Gemas kerana merancang untuk betolak ke JB pada awal pagi bagi menghadiri Gathering RMC di Tangjung Puteri Resort, Pasir Gudang. Program yang telah dirancang 2 bulan yang lepas dan segala persiapan telah juga dilakukan namun apa kan daya... kita merancang.. ALLAH juga merancang namun Perancangan ALLAH adalah yang sebaik-baiknya. Aku mendapat pangilan daripada ayah dan selepas solat subuh aku dan suami terus begegas ke Kg. Kerambit di Kuala Lipis.
Uwan dijemput pergi ketia usianya menjangkau usia 100 tahnu. Namun uwan masih sihat dan daya ingatannya sangat baik cuma penglihatan mata uwan agak kabur tetapi uwan masih mampu bergerak sendiri untuk mandi, berwudhuk dan solat secara duduk. Banyak perkara dan keistimewaan yang ada uwan yang mungkin boleh diambil sebagai contoh dan tauladan oleh pada cucu-cicitnya. http://jbakkad.blogspot.com/2009/08/moyang-di-rumah-kita.html Hati ini berasa syukur sangat-sangat kerana berpeluang untuk mengadap jenazah serta diberi peluang dan ruang untuk ambil bahagian dalam urusan pengurusan jenazah Uwan pada hati itu. Uwan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg. Kerambit selepas solat Jumaat dan segala urusan disempurnakan oleh para cucunya. Pada hari pemergian Uwan secara tak langsung seluruh ahli keluarga dapat berkumpul, yang dah berpuluh-puluh tahun tak berjumpa pun Alhamdulillah kami dapat bertemu. Ada hikmah yang tersembunyi sebenarnya tapi mungkin kita sebagai hamba kadang-kadang lupa.
Sememangnya kita dituntut agar sentiasa bersedia, membuat persiapan secukupnya, bagi menghadapi maut. “Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa; dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal.” (maksud al-Baqarah: 197)
Namun, berapa ramai yang mengambil pengajaran dan iktibar daripada terkaman maut, kecuali dalam tempoh masa yang begitu singkat, untuk kemudiannya melupakan, hinggalah dikejutkan kembali dengan tragedi seterusnya. Ya, sesungguhnya, insan memang mudah alpa dan banyak pula dalehnya. Telah banyak peristiwa yang hadir di kiri kanan, mengapa terlalu sukar untuk rasa insaf merubah gaya hidup kita? Mengapa hati ini terlalu keras untuk memerhatikan kejadian dan gerak alam untuk kita mengambil manfaat daripadanya, sebelum segalanya sudah terlambat apabila roh tercabut dari jasad?
Suarahati : Tuhan.. terima kasih kerana masih menaruh belas meminjamkan nafas ini hingga ke saat ini. Kerdilnya diri ini YaALLAH.. mengenangkan dosa dan maksiat. Ingatlah, janji dengan Allah masih banyak belum tertunai. Dosa dengan makhlukNya tidak tertebus. Sedang malaikat maut mungkin sedang mengintai-gintai di jendela menunggu arahan bagi melaksanakan tugas. YaALLAH pimpinlah aku...

p/s:"Uwan" adalah ibu kepada ibuku.

Monday, December 14, 2009

Demi Cinta

By Pahrol Mohamad Juoi


Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan pasangan hidup kita seperti memaafkan diri sendiri! Kesalahannya yang besar sekalipun wajar dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita sendiri.

Tirulah sifat Al A’ffu (Maha Pemberi Maaf) Allah SWT… yang terus-terusan memaafkan kesalahan hamba-Nya selagi kitam sudi bertaubat. Hanya dosa syirik, selain itu… pengampunan Allah tidak bertepi dan “bertapi” lagi.
Jadi siapakah kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan suami atau isteri kita? Kita hanya manusia yang turut berdosa… Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama manusia. Dan manusia yang paling berhak mendapatkan kemaafan itu tidak lain tidak bukan ialah isteri atau suami kita.
Kerana cinta Allah terus sudi memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi memaafkan kesalahan pasangan kita hanya kerana mengharapkan kemaafan Allah. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka!
Katakan kepada diri, betapa sukar sekalipun, kau wajib memaafkan. Memang kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu menyakitkan hati… Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di hati.
Bila datang perasaan semacam itu di hati mu… sedarlah ketika itu Allah menguji cinta mu! Allah bukan sahaja menguji cinta mu kepadanya, tetapi menguji cinta mu kepada-NYA.. Pada ketika itu terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta hanya mengikut perasaan atau cinta nafsu? Memang, orang yang paling dapat membuat diri mu marah ialah orang yang paling kau cintai. Jadi bila kita diuji begini katakan pada diri… Oh, Tuhan Kau sedang mengajarku erti cinta dan sabar. Jika benar cintakan dia kerana cintakan DIA (Allah), maka mudahlah kita mengorbankan perasaan marah. Justeru sesungguhnya cinta itu sentiasa mengatasi dan mendahului rasa marah. Jika cinta kalah oleh marah, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri kita sendiri.
Kemaafan itu akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk isteri atau suami mu tetapi buat hati mu sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang (lebih-lebih lagi kepada orang yang kita cintai) adalah lebih menyeksa diri sendiri berbanding dia yang kita marahkan. Kemarahan seumpama ‘bom jangka’ yang menunggu saat untuk meledak di dalam diri kita. Ia boleh menjelma menjadi satu penyakit cinta yang sangat menyakitkan. Nama penyakit itu ialah “benci tapi rindu”.

Sekali lagi, untuk mendapat ketenangan dalam hidup… berilah kemaafan. Kata ahli psikologi, bila kita memaafkan barulah kita ‘bebas’ dari belenggu individu, peristiwa dan keadaan yang kita marahkan itu. Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita marahkan sentiasa melekat pada diri dan hati kita. Kemarahan itu adalah “api” dalam hati kita. Ia panas dan membahang dalam diri. Manakala kemaafan umpama salju dingin yang akan memadamkannya.

Justeru, memaafkan pasangan adalah tradisi atau “life style” orang-orang yang soleh. Sayidina Umar memaafkan isteri yang meleterinya. Sayidina Ali pernah memaafkan Siti Fatimah yang pernah mengguris perasaannya. Kita tentu ingin meneladani mereka bukan? Bermulalah dengan sesuatu yang mudah, maafkan orang yang hampir dengan kita. Siapa lagi, kalau bukan isteri atau suami?

Islam menuntut kita memaafkan musuh kita sekalipun… Apatah lagi memaafkan isteri atau suami sendiri. Ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Bahagia itu bukan dengan mendapat, tetapi dengan memberi. Bukan hanya memberi keperluan fizikal dan material tetapi keperluan jiwa dan emosi, itulah kemaafan. Dan hakikatnya suami atau isteri kita lebih berhak untuk mendapat kemaafan itu sebelum kita memaafkan orang lain!

Anehnya kita sukar memaafkan orang yang masih hidup. Kita lebih mudah memaafkan orang yang telah mati. Sedangkan kemaafan itu penting untuk orang yang nasuh hidup, bukan untuk orang yang telah mati. Bayangkan, isteri atau suami kita tiba-tiba sahaja meninggal dunia dan kita tidak sempat memaafkannya, tenangkah hati kita ketika ditinggalkan oleh sidia buat selama-lamanya? Sedangkan masih ada yang “tidak selesai” antara hati-hati kita berdua?
Atau kita sendiri yang tiba-tiba meninggal dunia, bolehkah kita kembali dengan tenang sebelum memberi kemaafan kepada orang lain? Jangan bertangguh lagi, maafkanlah, kerana tanpa kemaafan itu kita akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat sekiranya salah seorang kita pergi menghadap Ilahi dahulu.

Percayalah! Saya pernah mendengar cerita betapa ada seorang suami yang kematian isteri, yang hingga kini masih terseksa jiwanya akibat tidak memaafkan isterinya yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tidak disangka-sangkanya. Mintalah kemaafan, dan berilah kemaafan, jika benar kita sedari mati itu datang tiba-tiba!

Telah berapa kali saya ulangi bahawa jika kita tidak maafkan orang lain, samalah dengan tidak memaafkan diri sendiri. Hati kita akan lebih menderita kerana itu. Telah terbukti ramai penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada mereka yang bakhil… Bakhil kerana harta? Bukan! Tetapi terlalu bakhil untuk memberi satu kemaafan. Jangan lokek untuk memberi maaf, jika tidak, hidup kita akan sentiasa diselubungi stres, murung dan resah walaupun mungkin tidak sampai dihantar ke rumah sakit jiwa.

Kekusutan fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat saraf tetapi kerana emosi kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan akibat benci dan marahkan sesuatu, seseorang atau keadaan. Penyakit ini tidak dapat diubati oleh sebarang pil, antibodi ataupun vaksin… tetapi hanya oleh tindakan memaafkan orang lain. Memberi maaf itu adalah terapi dan penawar jiwa yang lara.

Seorang ahli falsafah, Plato pernah berkata,“kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Insya-Allah, sekiranya penyakit jiwa dan fikiran diubati terlebih dahulu maka penyakit lahiriah akan dapat diubati dengan mudah. Siapa doktornya? Bukankah diri kita sendiri? Apakah ubatnya? Ya, sikap pemaaf.

Justeru antara adab tidur yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh kita ialah memaafkan kesalahan orang lain. Setelah membaca “4 Qul”, doa tidur dan zikir-zikir yang lain, kita diminta memaafkan semua kesalahan orang lain pada hari itu. Dan “orang lain” yang paling dekat dan hampir dengan kita ialah teman tidur di sebelah… siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita.

Maafkanlah kesalahan pasangan kita sebelum episod hari itu berakhir. Jangan simpan dalam “fail” di hati sanubari kita. “Delete” segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang akan merosakkan rasa cinta, sayang, kemesraan dan kerinduan antara kita suami isteri. Jangan lagi fikirkan “sepatutnya, dia tidak boleh buat begitu atau begini…” Selagi masih ada fikiran yang semacam itu, maka selagi itulah tidak akan ada rasa ingin memaafkan atau meminta maaf.
Siapa kita yang sepatutnya dilayan, dihormati dan dibelai mengikut jangkaan kita sendiri? Sebenarnya, jangkaan kita dalam satu-satu itulah yang menyebabkan berlakunya keretakan.
“Isteri ku sepatutnya bersikap begini terhadap ku. “
“Suami ku tidak sepatutnya bersikap begitu dengan ku.”

Jangkaan-jangkaan inilah yang menimbulkan kekecewaan apabila ia tidak berlaku seperti yang kita jangkakan. Dan anehnya itulah yang sentiasa berlaku. Kenapa? Jawabnya mudah, dunia dan kehidupan tidak seperti yang kita jangkakan. Oleh itu jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu yang tidak mampu dan tidak sepatutnya dijangka. Sebaliknya, terima atau jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan!

Justeru, bila berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan bersumber dari pasangan kita, maka sikap memaafkan adalah penawar yang paling melegakan. Oh, sepatutnya begitu, tetapi dia begini, tak apalah… aku maafkan. Aku akan terus mengingatkannya, mendidiknya dan mendoakannya. Semua itu kerana aku masih dan terus cintakannya. Bila ada maaf, itu petanda ada cinta. Tiada ungkapan, “tiada maaf bagi mu” selagi ada rasa cinta.

Kekadang ada yang terlalu sukar memaafkan pasangannya. Mereka ini sentiasa kesal, menyesal dan kecewa atas kesalahan, kekurangan dan kelemahan suami atau isterinya. Mereka yang diserang penyakit “benci tapi rindu” ini akan menyeksa diri sendiri. Kekadang isteri dimarahi, diherdik dan dicaci pada siang hari, namun pada malamnya dia akan tidur bersamanya lagi. Rasulullah SAW sangat membenci sikap suami yang begitu.

Mereka yang sukar memaafkan pasangan hidup akan terseksa sepanjang hidup. Hidup dalam kebencian, kesepian, kemurungan dan rasa bosan yang berpanjangan. Bila dekat timbul jemu, bila jauh timbul rindu. Jadi maafkanlah selagi dia menjadi teman hidup mu. Petanda cinta mu akan ke syurga ialah rumah tangga mu di dunia menjadi tenang, damai dan harmoni. Apalagi yang boleh menyumbangkan ke arah itu kalau bukan kemaafan?

Kata ahli psikologi, “Tuhan boleh mengampunkan segala dosa kita, tetapi sistem saraf kita tidak.” Maksudnya, sistem saraf tidak akan bertolak ansur dengan ketegangan dan kerisauan. Dan jauh lebih lama sebelum itu Rasulullah SAW telah mengingatkan, matilah kamu dengan marah mu!

Saudara/i ku, aku yang menulis ini pun masih bermujahadah untuk memaafkan. Lalu di akhir catatan rasa dan gurisan jiwa ini, ku hadiahkan sebuah puisi seadanya. Tentang gelombang rasa dan gejolak jiwa sendiri dalam sebuah episod dalam hidup ku sendiri. Sudi apalah kiranya kau tatapi bersama…

SuaraHati : Sangat terkesan buat aku yang baru bertatih dalam mengenal erti sebuah CINTA dibawah satu bumbung, yang disebut sebagai RUMAHTANGGA.

Thursday, December 10, 2009

Masih Ku Ingat Lagi.. SKJU 1985


Duduk dari kiri: Nasarudin Jabar, Amurudin Arifin, Mohd Azlan Ramli, Norzaedamin Mohd Noji, Cikgu Osman, Cikgu Ibrahim, Cikgu Ismail, Cikgu Rokiah, Ustazah Rohani, Azilawati Ahmad, Norhayati Jalil, Noraziah Hamid & Zainun Abd Aziz.
Bediri dari kiri : Sabariah Yusuf, Arwah Sy. Nurul Akmar, Rosliza Kasim, Haslina Samad, Norzaina Ali, Hafizah Harun, Salmah Hussin, Zalina Yahya, Sy.Norliza Sy Alwi, Fadilah, Zaini Afendi, Norzana Zakaria, Robiah Mohd Amin, Ruslina Mahmood, Norazam Yusuf, Marhasyila Teh Ismail & Jasminah Adnan
Bediri di belakang dr kiri: Norhisham, Hamdan Manaf, Salim Samad, Hasmadi, Shahrin Ahmad, Hiruan Hargal, Rosman Ahmad, Johari, Zaidi, Mohd Syukri Moktar, Saslizan Kamsan & WM Nor.

Masih ku Ingat lagi....

Setiap orang mempunyai pengalaman menarik dan pengalaman pahit masing-masing. Begitulah juga dengan aku. Bermula dari zaman aku mula bersekolah di SK(LKTP) Jenderak Utara (SKJU), pelbagai kenangan pahit manis yang telah aku harungi dan tempohi. Dan kini perkara inilah yang menjadi pengalaman yang sangat berharga buat aku.. Satu nilai yang tidak dapat dijual beli.

Aku memasuki alam persekolahanku di kelas 1 Kuning dimana guru darjah pada masa itu ialah Cikgu Ismail Mohamed. Beliau juga adalah merupaka guru disiplin pada ketika itu, dan apa yang aku masih ingat tentang Cikgu Ismail adalah misainya.. kerana misainya boleh juga saya katakan bahawa ianya sebagai asset atau symbol kepada jawatan & tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya… Cikgu Ismail juga selain dari guru kelas kami beliau mengajar kelas 1 Kuning dengan matapelajaran Bahasa Malaysia & Matematik. Memang Cikgu Ismail terkenal dikalangan murid seorang cikgu yang sangat tegas, pendek kata bila sebut namanya sahaja sudah cukup buat murid-murid jadi kejut.

Semasa belajar dalam darjah ini, aku masih lagi ingat dimana aku pergi ke sekolah hanya dengan berjalan kaki bersama-sama dengan kawan-kawan sepermainan. Jarak rumah ke sekolah lebih kurang hampir 2km. Teringat kepada Cikgu yang kebetullan sebagai guru ganti bagi matapelajaran Bahasa Ingeris iaitu, Cikgu Nazri. Suatu petang mungkin pada pandangan mata beliau nampak keadaan aku yang tidak selesa, lemau & lemah.. melihat keadaan aku begitu Cikgu Nazri mengajukan soalan kepada ku “kenapa dengan kamu” demam? Aku menggelengkan kepala. Habis? Mengantuk? Aku jugak gelengkan kepala.. cikgu Nazri bertanya lagi… kamu lapar? Aku terdiam.. (memang aku sedang menahan kelaparan pada waktu itu) lalu Cikgu Nazri menghulurkan aku duit 30 sen dan disuruhnya aku makan di kanten pada waktu itu juga. YaALLAH hingga ke saat ini aku masih terbayang-bayang wajaht ulus ikhlas Cikgu Nazri dengan kopiahnya yang berwarna hijau itu… Dimana Cikgu Nazri saat ini.. Ya ALLAH berkatilah akan dia.. (pada masa tu memang jarang sekali aku mendapat bekalan duit poket sebagai belanja, segalanya serba kurang biasanya aku dibekalkan nasi belaukkan telur mata).
Semasa belajar di kelas 1 Kuning ini juga, apa yang boleh aku banggakan ialah, aku tidak pernah menangis walaupun aku tidak pernah mempunyai pengalaman pra-persekolahan. Antara rakan-rakan sekelas yang masih aku ingat bersamaku dahulu di kelas ini ialah Ruslina Mamood (kini telah punyai lebih dari 3 orang anak) Sabariah Yusof (Guru J-QAF di Melaka) dan Zainun Abd Aziz (Pegawai Kewangan), Norzana Zakaria (Berkhidmat di Proton Shah Alam) Azilawati bt Ahmad (Guru di Temerloh ), Mohd Syukri Moktar(Guru) dan ramai lagi…

Semasa aku bersekolah di darjah 2 & 3 juga berada di kelas Kuning, guru kelas juga masih Cikgu Ismail. Beliau adalah juga guru yang mengajar aku Matematik. Aduh! Sengsara betul kalau tiba time kelas beliau mengajar Matematik pasti sifir menjadi mukaddimah sebelum memulakan pengajaran. Aku adalah antara pelajarnya yang lemah tetapi selemah-lemah aku, aku pasti dapat melaksanakan bacaan sifir walaupun tidak begitu lancar dan aku terkecuali dari menghadapi denda berdiri atas kerusi atau perkara yang selalu dilakukan oleh beliau sebagai hukuman adalah dgn menarik anak rambut. Aduiii ianya sangat memeritkan. Tetapi itulah cara beliau yang sangat terkesan dihati kami sebagai anak muridnya. Mungkin bukan kerana dengan menarik anak rambut kami tidak akan kesahkan tentang sifir.

Aku kemudiannya telah naik ke Darjah 6 Kuning. Gah rasanya menjadi pelajar senior dan juga telah mula dengan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun itu merupakan tahun pertama diperkenalkan UPSR (sebelum ini disebut Penilaian Darjah 5) Guru kelasku pada masa ini ialah Cikgu Zainudin juga guru matapelajaran Bahasa Melayu & Matematik. 1 Kenangan yang tidak dapat aku lupakan dalam darjah 6 adalah pernah suatu hari Cikgu Zainudin meminta semua murid mencipta pantun / sajak / ucapan ringkas sempena Hari Raya Aidilfitri dan dijanjikan hadiah kepada mana-mana murid yang dapat menghasilkannya dengan baik. Aku dengan penuh yakinnya ketika itu menjadi sebahagian murid yang membaca sajak yang telah aku hasilkan sendiri. Memang aku sendiri pun tak sangka bahawa aku terpilih dan dipilih sebagai coretan yang terbaik. Jadi sebagai ganjarannya Cikgu Zainudin berjanji akan mengunjungi rumah aku pada hari raya nanti dan Cikgu telah menunaikan janjinya… (Terima Kasih Cikgu Zainudin)

Rakan-rakan ku semasa di darjah 6 Kuning ini boleh dikatakan nakal-nakal tetapi tidaklah sampai ketahap mencabar kewibawaan guru pada ketika itu. Senakal mana pun murid rasa takut dan gerun pada cikgu masih lagi menebal. Apabila saat sekolah hampir ditutup untuk cuti hujung tahun, kelas aku juga telah menganjurkan jamuan perpisahan kerana selepas ini, ada di antara kami akan berpisah.

Sepanjang belajar di sekolah rendah ini.. di SKJU yang tercinta ini.. aku banyak belajar menjadi seorang manusia yang berdikari dan yang paling utama sekolahku telah mengajar aku bersosial dan berinteraksi sesama manusia. Memang aku sendiri akui aku adalah seorang pelajar yang kurang berkeyakinan namun kini aku tetap sebahagian daripada sejarah sekolahku.. SKJU 1983-1988. Terima kasih ayah... terima kasih mak.. kerana menghantar aku ke sekolah. Terima kasih juga buat cikgu-cikgu sekalian atas usaha murni kalian dan HALALkan Ilmu yang telah kalian curahkan buat kami.

Suara Hati : Andai dapat ku undur masa.. akan ku perbaiki agar aku menjadi yang lebih baik.. namun masa yang berlalu tetap juga akan berlalu...


Monday, December 7, 2009

Jambatan Hampir Siap

Semasa saya pulang ke kampung mentua di Kg. Durian Hijau minggu lepas, seperti biasa saya pasti akan menjengok perkembangan terbaru pembinaan Jambatan Kuala Krau kerana saya juga antara yang sangat berkepentingan pada jambatan ini.. maksud saya bekepentingan dari segi penggunaannya yang sangat praktikal bagi kemudahan saya untuk ulang alik dari rumah orang tua di Jenderak Utara ke Kg. Durian Hijau. Sebelum ini dan hingga saat ini untuk perjalanan ke tersebut saya perlu mengambil masa kira-kira 45 minit dengan jarak lebih kurang 65km.
InsyaALLAH bila jambatan ini siap kelak, saya antara pengguna yang sangat gembira dan beryukur sangat terhadapa Yang Maha Kuasa kerana memberi kekuatan dan kudrat kepada pekerja-pekerja untuk menyempurnakan kerja serta kerana mengilhamkan kepada pemerintah untuk membina jambatan ini sebagai kemudahan kepada masyarakat setempat.

Diberitahu bahawa dijangkakan pada Feb - March 2010 jambatan ini siap sepenuhnya.


Tak sabar nak tunggu siap


Kelihatan kerbau bederet-deret merentasi jambatan ni.. nampaknya kerbau terlebih dahulu menikmati kemudahan ini...

Kerbau kepunyaan siapa la ni ek...
Catatan saya yang berkaitan sebelum ini: